Permuafakatan UMNO-Pas atas dasar Islam, rakyat
KUANTAN - UMNO dan Pas berkerjasama atas dasar Islam serta kepentingan rakyat di negara ini.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, disebabkan itu kedua-dua parti bersepakat untuk bermuafakat dengan berpaksikan Islam.
Menurutnya, menerusi prinsip dan berpandukan dasar politik masing-masing, permuafakatan ini akan berkekalan dan dirahmati ALLAH.
“UMNO dan Pas akan berpegang pada paksi itu (Islam) dan kalau hanya bekerjasama untuk dapatkan kuasa ia pasti tak akan kekal lama... kerana kalau dapat kuasa kita akan berantakan (bergaduh) semula.
“Jadi sebab itu fokus UMNO dan Pas adalah untuk kepentingan agama serta rakyat... kita mahu rakyat beroleh manfaat daripada permuafkatan atau kerjasama yang kita jalinkan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai ucapan dasar Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang meminta semua perwakilan berpegang kepada prinsip parti dan mesti dihormati serta berpandukan dasar politik masing-masing.
Turut hadir Ketua Pemuda Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) Shahir Adnan dan Ketua Pemuda Berjasa, Iqbal Hakim Abdul Razak dan rombongan Pemuda MIC.
Asyraf Wajdi berkata, permuafakat yang telah dijalankan ini sudah masuk fasa ke-2 dan kedua parti itu sedang memperkukuhkan hubungan mereka.
“Permuafakatan ini sudah dimulakan sejak pilihan raya kecil lagi dan akan dimantapkan lagi. Kita sudah tidak berasa jakun, bahkan bersedia untuk mengorak langkah dalam PRU akan datang,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan Pakatan Harapan dalam keadaan haru-biru dan menjangkakan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak dapat menahan tekanan untuk melantik Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Ke-8.
Katanya, cara terbaik adalah dengan menyerahkan mandat ini kepada rakyat untuk menentukan.
“Kita yakin rakyat tidak mahu lagi terbawa-bawa politik cepisan yang ada pada hari ini,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!