Empat juta pemajak guna premis pajak gadai berdaftar tahun lalu
PUTRAJAYA - Hampir empat juta pemajak direkodkan menggunakan khidmat di 593 premis pajak gadai berdaftar di seluruh negara pada tahun lepas dengan nilai gadaian kira-kira RM8 juta, menurut Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin.
"Terdapat kesedaran dalam kalangan rakyat untuk menggunakan saluran yang betul, selamat dan terjamin dalam membuat gadaian berbanding menggunakan ceti haram atau 'ah long'," katanya pada sidang media selepas melancarkan aplikasi Mobil i-Gadaian di sini hari ini.
Aplikasi i-Gadaian itu dibangunkan oleh Bahagian Kawalan Kredit Komuniti (BKKK) untuk memudahkan orang ramai membuat carian premis pemegang pajak gadai yang berlesen di bawah kementerian selain sebagai platform membuat aduan secara dalam talian.
Aplikasi itu turut memuatkan pelbagai informasi bermanfaat terutama kepada mereka yang berminat menjalankan transaksi pemajakgadaian berdasarkan Akta Pemegang Pajak Gadai 1972 [Akta 81] yang memberi perlindungan kepada hak seorang pemajak, katanya.
"Antara jenis aduan yang boleh dikemukakan melalui kemudahan itu ialah pajak gadai tidak berlesen, mengenakan kadar keuntungan yang melebihi had ditetapkan serta barang gadaian ditebus orang lain,”katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!