'Gunung sampah' sama tinggi dengan Taj Mahal?

Lokasi pembuangan sampah di Ghazipur, New Delhi.- Foto Hindustantimes
Lokasi pembuangan sampah di Ghazipur, New Delhi.- Foto Hindustantimes
A
A
A

INDIA - 'Gunung sampah' Ghazipur, New Delhi bakal menjadi lebih tinggi daripada bangunan Taj Mahal sekiranya pembuangan sampah tidak dihentikan pada 2020.

Digelar juga sebagai 'Gunung Everest' oleh penduduk tempatan, timbunan sampah ini sudah melebihi daripada 65 meter tinggi.

Dibuka pada tahun 1984, Ghazipur kini menyamai keluasan 40 padang bola sepak.

Jika keadaan berterusan, timbunan sampah ini boleh mencapai setinggi 73 meter pada tahun 2020 sama seperti ketinggian Taj Mahal yang merupakan salah satu ikon kebanggaan India.

Baru-baru ini Mahkamah Agung India mengarahkan pemasangan lampu sebagai tanda amaran bagi pesawat yang melalui kawasan itu.

Menerusi laporan Hindustantimes, kira-kira 2,000 tan sampah dibuang di Ghazipur setiap hari, kata pegawai perbandaran Delhi yang enggan dikenali.

Katanya, keadaan itu bukan sahaja mencacatkan pemandangan tetapi boleh mengundang bahaya kepada kesihatan.

Difahamkan, Majlis Perbandaran Delhi Timur telah cuba beberapa kali untuk menutup lokasi pembuangan sampah itu tetapi gagal.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, ketua kumpulan advokasi alam sekitar, Chitra Mukherjee, menyeru kepada pihak berkaitan segera menghentikan pembuangan sampah di Ghazipur kerana mencemari udara dan air.

Penduduk New Delhi Timur juga mengadu mengenai bau longgokan sampah hingga sukar bernafas.

Bukan itu sahaja, kejadian tanah runtuh juga telah berlaku hingga mengorbankan dua nyawa pada tahun lalu.

Penduduk, Puneet Sharma, 54, berkata, udara sangat kotor menjadikan hidup mereka terganggu dan ramai jatuh sakit gara-gara sampah itu.

Doktor tempatan pula memberitahu, seramai 70 pesakit menerima rawatan di hospital setiap hari dan kebanyakkan disebabkan masalah pernafasan akibat pencemaran udara.

"Ramai antaranya adalah bayi dan kanak-kanak.

"Antara tahun 2013 hingga 2017, dianggarkan seramai 981 kematian berlaku di Delhi akibat masalah pernafasan," katanya.

Bandar raya di India menghasilkan 62 juta tan sisa buangan setiap tahun dan ia akan berterusan meningkat kepada 165 juta tan menjelang 2030. - Hindustantimes

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!