Emas jadi sasaran Suresh di Tokyo
ALOR SETAR - Pingat emas menjadi sasaran dalam acara memanah Sukan Paralimpik Tokyo 2020, itu kata pemanah paralimpik negara, S Suresh, 25 selepas menerima insentif RM5,000 dari Kerajaan Kedah di Wisma Darul Aman hari ini.
Atlet itu menempah sejarah muncul atlet pertama negara memenangi pingat emas pada Kejohanan Memanah Para Dunia 2019 pada 9 Jun lalu.
Majlis penyampaian tersebut disempurnakan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang turut dihadiri oleh bapa Suresh, M Selvatambi, 46 dan ibunya, C Dewani, 44.
Suresh berkata, beliau mengakui perkara tersebut bukan tugas mudah apabila bakal diberi saingan sengit oleh atlet seperti Amerika Syarikat, Korea Selatan dan Iran di Tokyo pada tahun hadapan.
"Kejayaan ini sedikit sebanyak meningkatkan lagi motivasi saya dan pada waktu yang sama, saya masih perlu berusaha untuk meningkatkan lagi prestasi semasa bagi menghadapi Sukan Paralimpik Tokyo 2020.
"Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang tidak putus-putus memberikan sokongan. Pemberian insentif oleh Kerajaan Kedah juga turut membakar semangat saya untuk memberikan yang terbaik," katanya yang ditemui media.
Pada kejohanan dunia di Belanda itu, Suresh cemerlang menumpaskan wakil Amerika Syarikat, Eric Bennett, 7-3 (26-28, 26-26, 27-25, 26-25, 29-27) pada aksi final recurve individu lelaki.
Sementara itu, Mukhriz pada sidang media berkata, beliau mengakui bangga kerana negeri ini banyak melahirkan atlet yang berbakat dan meraih kejayaan dalam pelbagai lapangan sukan.
Menurutnya, Suresh berjaya membuktikan kemampuannya dan kerajaan negeri wajar memberi perhatian dan penghargaan dari sudut kebajikan.
"Sebelum-sebelum ini memang kita telah pun memberikan perhatian kepada atlet paralimpik di Kedah dan kerajaan negeri telah meluluskan satu peruntukkan dan insentif tersebut akan diumumkan jumlahnya tidak lama lagu," katanya.
Hadir sama, Exco Belia dan Sukan Kedah, Mohd Asmirul Anuar Aris dan Pengarah Belia dan Sukan Kedah, Mohd Salleh Ramli.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!