Mayat lelaki ditemukan terapung tidak berpakaian
LANGKAWI - Mayat seorang lelaki ditemukan terapung pada kedudukan lebih kurang 0.1 batu nautika Tenggara Pulau Bumbum Besar, Langkawi kira-kira jam 5 petang, semalam.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia ( APMM) Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Rozali Said berkata, mayat lelaki itu ditemui seorang nelayan ketika melakukan aktiviti menangkap ikan.
Menurutnya, susulan itu, sebuah bot APMM digerakkan ke tempat kejadian sebaik menerima laporan mengenai penemuan mayat tersebut.
“Kemudiannya, mayat ditemui dalam keadaan tidak berpakaian itu dibawa ke Jeti Maritim Bukit Malut sebelum diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut.
"Bagaimanapun, sehingga kini pihak kami tidak menerima sebarang aduan daripada orang awam tentang kehilangan ahli keluarga," katanya.
Katanya, orang ramai yang ada kehilangan ahli keluarga diminta untuk menghubungi Pusat Operasi Maritim Langkawi di talian 04-9662750.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!