Arena Square Parit Buntar perlu kos RM2.5 juta

Abdul Yunus(tiga, kanan) menyempurnakan pemberian bantuan khas kerajaan negeri kepada Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan(SMJK) Kerian yang diwakili pengetuanya, Ng Lian Hock di Dewan SJKC Yu Chai, hari ini.
Abdul Yunus(tiga, kanan) menyempurnakan pemberian bantuan khas kerajaan negeri kepada Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan(SMJK) Kerian yang diwakili pengetuanya, Ng Lian Hock di Dewan SJKC Yu Chai, hari ini.
A
A
A

KUALA KURAU - Kerajaan Perak bercadang menaik taraf Dataran Kerian Permai, Parit Buntar kepada sebuah lokasi Arena Square yang dijangka menelan belanja RM2.5 juta hingga RM3 juta, tahun hadapan.

Exco Kemudahan Awam, Infrastruktur, Pertanian dan Peladangan, Abdul Yunus Jamhari berkata, cadangan itu dikemukakan susulan Parlimen Parit Buntar masih tidak lagi memiliki sebuah tapak dataran berbumbung seperti Arena Square untuk kegunaan pelbagai aktiviti seperti sukan, keramaian dan program kerajaan negeri.

Menurutnya, cadangan itu masih di peringkat awal namun pihaknya tidak menolak kemungkinan ianya akan dilaksanakan tahun hadapan untuk kemudahan rakyat di sini.

"Apabila dinaik taraf kepada Arena Square sebagaimana dinikmati Parlimen Kuala Kangsar dan Batu Kurau, penganjur program di Dataran Kerian Permai tidak perlu mengeluarkan modal besar untuk menyewa khemah bagi kegunaan program.

"Kos pembinaan bumbung berkenaan dianggarkan Majlis Daerah Kerian(MDK) bernilai antara RM2.5 juta hingga RM3 juta dan kewujudannya pasti membantu menjana pendapatan kepada pihak berkuasa tempatan(PBT) itu," katanya kepada media pada majlis penyampaian bantuan khas kerajaan negeri Perak kepada sekolah-sekolah Cina Parlimen Parit Buntar 2018 di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina(SJKC) Yu Chai, di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Abdul Yunus yang juga Adun Kuala Kurau berkata, kawasan pelancongan Pantai Ban Pecah, di sini juga bakal dinaik taraf kerajaan negeri untuk dijadikan salah satu produk pelancongan daerah Kerian, tahun hadapan.

Menurutnya, bagi peringkat awal, Pantai Ban Pecah akan disediakan pelbagai kemudahan asas seperti tandas, bilik persalinan pakaian, gerai makanan dan tempat parkir kenderaan untuk kemudahan pengunjung oleh pentadbiran daerah Kerian.

"Bagaimanapun kos keseluruhan penyediaan kemudahan asas itu dan tapak pembinaannya masih di peringkat perbincangan kerana kebanyakan tanah di kawasan Pantai Ban Pecah adalah milik individu.

Artikel Berkaitan:

"Kerajaan negeri turut mengalu-alukan pembabitan pihak swasta untuk membuat pelaburan dengan menyediakan kemudahan chalet kepada pengunjung pantai itu yang sememangnya popular sebagai destinasi tempat memancing terkemuka di daerah Kerian," katanya.

Namun begitu, di sebalik usaha menaik taraf Pantai Ban Pecah, Abdul Yunus menasihatkan golongan peniaga dan pengunjung kawasan itu sentiasa prihatin kepada aspek penjagaan kebersihan pantai dan tidak membuang sampah merata-rata.

Menurutnya, pada ketika ini, masalah pembuangan sampah berleluasa adalah satu isu yang perlu dibendung kerana ianya mampu mencacatkan keindahan kawasan peranginan itu.

"Sekarang masalah sampah di Pantai Ban Pecah serius kerana kawasan bukan di bawah seliaan MDK untuk menjalankan kerja kutipan sampah berjadual.

"Saya menasihatkan semua pihak supaya sama-sama menjaga kebersihan pantai itu demi mengekalkan keindahannya pada masa hadapan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!