Tarikan raja buah sampai ke China

A
A
A
DURIAN bermusim lagi, maka di mana-mana pun - termasuk di dalam lif!* - bau raja buah itu menusuk hidung, meresap hingga ke jantung.

Tidak salah menikmatinya tetapi hati-hati sebab durinya yang tajam itu boleh melukakan jari, malah boleh merobekkan dompet, hatta menyesakkan nafas.

Alkisah terjadi kepada seorang wanita dan beberapa orang rakannya yang terkedu dan sukar bernafas setelah makan tiga biji durian di sebuah kedai buah di Jalan Macalister, Pulau Pinang.

Seperti yang dilaporkan media, dalam insiden 30 Mei itu, wanita berkenaan telah meminta durian terbesar dan paling sedap, lalu pemilik kedai memberikan dua biji black thorn dan sebiji musang king.

Setelah selesai berjamu durian di kedai berkenaan, wanita tersebut dikenakan bayaran RM937. Itu yang menyebabkan mereka terkedu.

Membayar hampir RM1,000 untuk tiga biji durian, mahal? Tetapi penjual buah itu menjelaskan, pada hari berkenaan harga black thorn RM95 per kilo dan musang king RM60 per kilo.

Moral cerita: tidak kira berapa banyak duit ada dalam saku, sebelum makan tanya dulu berapa harga sekilo. Timbang semuanya dan sahkan jumlah harga.

Apa pun sekarang durian semakin banyak di pasaran dan harganya tidak semahal yang dikenakan sebulan lalu. Seorang peniaga di Pulau Pinang memberitahu, harga buah berduri itu semakin menurun.

Black thorn ditawarkan paling mahal pun RM200 hingga RM300 sebiji; si raja musang dijual pada harga yang jauh lebih murah sekitar RM40 per kilo.
Artikel Berkaitan:


Di Kuala Lumpur semakin banyak longgokan durian di tepi jalan dan di pasar malam. Ada peniaga yang menjual si musang pada harga hanya RM25 per kilo.

RM25 per kilo - rata-rata sebiji dua kilo atau RM50 - mungkin kedengaran murah kepada mereka yang berduit tetapi bagi kebanyakan orang biasa harga itu terlalu mahal.

Dalam keadaan ekonomi mengecut, duit semakin kecil dan beratus ribu orang tiada pekerjaan, jangankan RM25, jika per biji dijual RM2.50 pun itu di luar kemampuan.

Durian menjadi buah eksklusif untuk golongan elit. Bagi orang biasa lebih baik beli beras atau ikan kembung daripada menimbang buah berduri.

Bagi beribu-ribu yang hilang pekerjaan atau lebih 300,000 graduan yang masih menganggur, kempunanlah mereka kerana tidak mampu membayar RM300 hanya untuk sebiji si duri hitam.

Maka si raja yang menjadi kemegahan, idaman dan rebutan orang berduit, bagi rakyat jelata hanya mampu lihat dan mampu hidu.

Nasib baik belum ada akta atau undang-undang menghalang orang ramai daripada menghidu bau durian!

Sementara di tempat kita rakyat biasa hanya mampu mencium bau, buah berduri itu dihantar ke luar negara untuk dinikmati orang lain.

Seperti dilaporkan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menjangka kira-kira 1,000 tan metrik durian sejuk-beku akan memasuki pasaran China setiap bulan.

Menterinya, Datuk Salahuddin Ayub menjangkakan eksport raja buah itu ke China menyumbang kira-kira RM500 juta setahun, berikutan termeterai perjanjian protokol eksport dengan Beijing pada Ogos tahun lalu.

Tahun lalu, jumlah eksport durian kita ke negara tersebut ialah RM9.44 juta atau 235.62 tan metrik. Menurut peminat durian di negara Tembok Besar itu, buah kita lebih sedap berbanding durian dari negara pengeluar lain.

Pengeluaran durian di Malaysia tahun lalu meningkat 341,000 tan metrik, berbanding 211,000 tan metrik tahun 2017. Harap-harap dengan meningkatnya pengeluaran setiap tahun, durian jenis terbaik mampu dinikmati ramai rakyat biasa kita.

Boleh eksport ke seluruh dunia untuk memperkenalkan jenama Malaysia. Tetapi pastikan Raja Buah dan Raja Musang itu mampu dinikmati isinya, bukan hanya baunya oleh seluruh rakyat jelata.

*Nota kaki: bagi yang di dalam lif, tiba-tiba terhidu durian, jangan terlalu yakin. Bau yang semerbak itu mungkin angin dari dalam perut atau kentut!

*Datuk Abdul Jalil Ali ialah Penasihat Eksekutif Editorial Sinar Harian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!