Sabah perlu kekal fokus, konsisten untuk terajui Liga Premier
KETUA Jurulatih Sabah, Jelius Ating menggesa anak-anak buahnya kekal fokus dan konsisten untuk meraih kemenangan selepas menumpaskan PDRM 2-1 di Stadium Hang Jebat, di sini semalam untuk memastikan pasukan itu kekal menerajui puncak Liga Premier hingga tamat saingan.
Pengendali berusia 48 tahun itu berkata, dengan berbaki lima perlawanan yang perlu dihadapi, kutipan tiga mata amat penting untuk mereka menjarakkan kedudukan sekali gus menempah slot ke saingan Liga Super musim hadapan.
Beliau berkata, biarpun dilihat masih terlalu awal untuk memasang angan-angan namun bekas pemain kebangsaan tahun 1997-1998 itu mahu pasukan bimbingannya terus bekerja keras demi merealisasikan impian mereka melayakkan diri dalam saingan tertinggi bola sepak tempatan selepas sekian lama tercicir.
"Pada masa ini kami perlu memberi tumpuan dalam setiap perlawanan kerana ada 90 minit yang perlu ditempuhi dan dalam bola sepak apa saja boleh terjadi, sudah tentu semakin kita mahu mengakhiri saingan, tekanan akan lebih tinggi dan perjalanan makin sukar.
"Selagi belum menghabiskan perlawanan untuk berada di kedudukan teratas liga, kami perlu berusaha dengan lebih gigih selain tidak boleh cepat berpuas hati kerana kita mahu menang hingga dinobatkan sebagai juara," katanya kepada pemberita selepas perlawanan itu di sini, malam tadi.
**media[]**
Terdahulu, pada perlawanan itu tuan rumah membuka jaringan menerusi sepakan percuma yang diambil oleh pemain import Korea Selatan, Lee Chang Hoon pada minit ke-32.
Bagaimanapun, pasukan Sabah Rhinos itu akhirnya bangkit menyamakan kedudukan menerusi gol Rodoljub Paunovic pada minit ke-76 sebelum enam minit kemudian Alto Linus melebarkan kedudukan dan keputusan itu kekal hingga tamat permainan.
Mengulas lanjut, Jelius berkata kemenangan yang diraih itu akan sentiasa menjadi motivasi buat para pemainnya untuk menempuh satu perlawanan ke satu perlawanan bagi sasaran menguasai takhta Liga Premier.
"Syukur kemenangan malam ini, ia bukan kemenangan mudah kerana di akhir perlawanan kami menang, PDRM bermain baik dan mendahului kami, tetapi setiap pemain harus dipuji mereka terus berusaha untuk menang," katanya.
Jelius yang juga pernah mewakili Sabah dari tahun 1995 hingga 2005 turut mengucapkan terima kasih kepada pihak pengurusan Persatuan Bola Sepak Negeri Sabah (SAFA) yang memberi kepercayaan kepadanya mengendalikan pasukan itu sejak dua tahun lepas.
Katanya, beliau juga bertekad untuk mengembalikan kegemilangan pasukan bola sepak negeri Di Bawah Bayu itu sebagai pasukan elit dan disegani selepas kali terakhir berada dalam saingan Liga Super pada 2012.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!