Cadang bina Lebuhraya Johor Tengah

Chong Sin (dua dari kiri) bersama Anthony Loke (tengah) di UTHM.
Chong Sin (dua dari kiri) bersama Anthony Loke (tengah) di UTHM.
A
A
A

KLUANG - Kadar kemalangan yang tinggi di Jalan FT50 Batu Pahat-Kluang mungkin dapat diselesaikan untuk jangka masa panjang sekiranya pembinaan lebuh raya baharu iaitu Lebuhraya Johor Tengah dapat dilaksanakan oleh kerajaan.

ADUN Mengkibol, Chew Chong Sin berkata, beliau juga telah mencadangkan pembinaan lebuh raya yang menghubungkan Batu Pahat dan Kluang yang seterusnya bersambung ke Mersing kepada Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fok di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), baru-baru ini.

"Pada peringkat pertama, saya telah mencadangkan pembinaan lebuh raya yang menghubungkan Batu Pahat, Ayer Hitam dan Kluang dengan jarak tidak lebih daripada 50km dan perjalanan dari Kluang ke Batu Pahat dijangka dapat dipendekkan separuh iaitu hanya 30 minit.

"Di samping itu, kenderaan boleh masuk dan keluar ke Lebuh Raya Utara Selatan melalui persimpangan Tol Ayer Hitam dan cadangan penyelesaian jangka panjang ini dijangka akan merancakkan pertumbuhan ekonomi negeri Johor secara keseluruhan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, pada peringkat kedua pula, cadangan pembinaan lebuh raya tersebut akan menghubungkan Mersing sekali gus dapat menggalakkan aktiviti eko-pelancongan dan kawasan pantai di sekitar Taman Negara Endau-Rompin selaras dengan arah pembangunan negara yang mengutamakan sektor pelancongan dan perkhidmatan.

Katanya, laluan jalan raya utama juga perlu mengambil kira aspek perkembangan keseluruhan Johor secara seimbang serta membezakan antara lalu lintas tempatan (local traffic) dan lalu lintas terus (through traffic) yang melibatkan kenderaan awam dan van atau lori besar.

Lakaran laluan Lebuhraya Johor Tengah dari Kluang ke Batu Pahat.
Lakaran laluan Lebuhraya Johor Tengah dari Kluang ke Batu Pahat.

Artikel Berkaitan:

"Setelah menjalankan tinjauan keadaan lalu lintas Jalan Kluang-Batu Pahat, saya berpendapat bahawa, Jalan FT50 perlu dikekalkan kerana sesuai untuk memenuhi keperluan lalu lintas tempatan kerana melibatkan pelbagai reka bentuk jalan yang berbeza di bahagian jalan yang berlainan.

"Jalan FT50 ini juga melintasi kawasan-kawasan pembangunan yang berlainan termasuk kawasan perumahan dan perindustrian, manakala lebuh raya baharu ini sesuai untuk pengguna jalan raya yang datang dari arah Kluang terus ke Batu Pahat dan juga pengangkutan yang melibatkan kenderaan-kenderaan besar," katanya.

Menurutnya, keutamaan perlu diberi ke atas pembinaan lebuh raya dari Ayer Hitam ke Kluang terlebih dahulu jika peruntukan kerajaan tidak mencukupi kerana lebuh raya tersebut dapat memberi impak sosial ekonomi yang lebih besar bersama Projek Landasan Elektrik Berkembar Gemas-Johor Bahru yang sedang dibina.

Katanya, rangkaian dan kemudahan pengangkutan yang sempurna boleh membantu proses penjanaan kekayaan rakyat dan beliau percaya pembinaan Lebuh Raya Johor Tengah ini dapat memastikan pembangunan ekonomi yang mengintegrasikan perusahaan industri, pertanian, kebudayaan dan pelancongan di kawasan Johor Tengah akan dapat direalisasikan.

Sebelum ini, Anthony sewaktu Program 'My Safe Road,' di UTHM berkata, kos sebanyak RM300 juta diperlukan untuk memasang pembahagi jalan sepanjang 17km di Jalan FT50 Batu Pahat-Kluang bagi mengurangkan kadar kemalangan termasuk kemalangan maut di laluan tersebut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!