MPK buru pesalah trafik RM14 juta

MPK
MPK
A
A
A

KUANTAN - Sejumlah RM14 juta kompaun kesalahan trafik dikeluarkan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) masih belum dilunaskan.

Memetik laporan Berita Harian, Ketua Seksyen Perhubungan Awam MPK, Izad Zainal Muhammad Safian berkata, ia membabitkan notis sebanyak 1.4 juta yang dikeluarkan pihaknya terhadap pengguna yang melakukan kesalahan trafik sejak 2010 sehingga kini.

Katanya, Unit Penguatkuasaan akan turun padang memburu pengguna yang memiliki notis bagi membolehkan mereka menjelaskannya dengan segera.

“MPK akan mengapit roda, menghantar notis ke alamat surat-menyurat dalam dan luar Pahang, merujuk kes ke mahkamah selain menjalankan ‘Ops Waran Tangkap’ bersama polis dengan berkunjung ke rumah pesalah.

“Kami meminta mereka yang mempunyai notis saman yang dibawa diminta membawanya ke Unit Undang-Undang dan Pendakwaan MPK untuk penyelarasan pembayaran.

“Pada masa depan, mereka yang gagal menyelesaikan kompaun trafik MPK mungkin menghadapi risiko disenarai hitam oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ),” katanya kepada NSTP di Kuantan, hari ini.

Izad Zainal berkata, pihaknya menyediakan beberapa alternatif kepada mereka yang mempunyai saman tunggakan tinggi antaranya menstruktur semula pembayaran.

“Mereka boleh membayarnya secara berperingkat. Selain itu, memberikan diskaun istimewa dan promosi untuk kupon tempat letak kereta bulanan dan tahunan.

Artikel Berkaitan:

“Pemandu boleh menyemak sama ada mereka mempunyai notis kompaun trafik di pejabat kami dan juga di kios kami di kompleks membeli-belah selain di laman web, http://ekompaun.mpk.gov.my/,” katanya.

Katanya, ramai memilih mengabaikan peringatan dikeluarkannya kerana beranggapan MPK tidak akan mengambil tindakan.

“Kami sebenarnya memburu mereka termasuk menjejak di rumah atau tempat kerja.

“MPK bersedia membantu dan menyediakan penyelesaian bagi mereka yang mempunyai tunggakan saman trafik,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!