TH saran 30,200 bakal jemaah musim ini hadir Kursus Perdana Haji
KUALA LUMPUR - Lembaga Tabung Haji (TH) menyarankan 30,200 jemaah haji yang bakal menjalani ibadah itu pada musim haji 1440/2019 M menyertai Kursus Perdana Haji yang diadakan di seluruh negara secara berperingkat bermula esok hingga 29 Jun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Zukri Samat berkata kursus yang berlangsung selama dua hari satu malam itu adalah yang terakhir anjuran TH sebagai ulang kaji dan pelengkap kursus-kursus haji yang dikendalikan TH di seluruh negara sebelum ini.
Katanya menerusi kursus tersebut, bakal jemaah haji berkenaan akan diberikan informasi terkini oleh 56 Pengkursus Ibadat Haji Tanah Air (Pekta) sebelum mereka berangkat ke Tanah Suci.
“Kami menyeru semua bakal haji yang terpilih tahun ini untuk hadir ke Kursus Perdana Haji yang diadakan di negeri masing-masing. Ambil peluang ini untuk mengulangkaji dan jika ada sebarang persoalan, bertanya terus kepada ustaz-ustaz yang ada semasa kursus berlangsung.
“Ini penting untuk kesempurnaan ibadat haji yang akan dilaksanakan nanti dalam usaha memperoleh haji yang mabrur,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menerusi kenyataan itu, kursus yang bermula esok hingga 22 Jun ini akan berlangsung di Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu, Terengganu; Institut Pendidikan Guru, Kampus Kota Pengkalan Chepa (Kelantan); Masjid Bandar Dato’ Onn, Johor Bahru (Johor) dan Dewan Wawasan, Kubang Pasu, Jitra (Kedah).
Kursus yang bermula pada 22 hingga 23 Jun pula akan diadakan di Masjid Sultan Ahmad Shah 1 (Masjid Negeri), Kuantan, Pahang; Universiti Teknikal Melaka, Durian Tunggal (Melaka); Kompleks Universiti Sains Malaysia (USIM), Bandar Baru Nilai (Negeri Sembilan); Masjid Sultan Azlan Shah, Ipoh (Perak); Dewan Milenium, Kepala Batas (Pulau Pinang) dan Masjid Wilayah Persekutuan, (Kuala Lumpur).
Lokasi yang turut diadakan kursus pada tarikh yang sama ialah Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (Masjid Negeri), Shah Alam, (Selangor); Masjid Saidina Abu Bakar, Kuala Perlis, (Perlis) dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Tun Fuad Stephens, Sandakan, (Sabah).
“Kursus itu juga diadakan di Masjid Darul Hana, Petra Jaya, Kuching, Sarawak pada 29 Jun hingga 30 Jun ini,” katanya.
Penerbangan pertama yang akan membawa jemaah haji Malaysia ke Tanah Suci bagi musim haji kali ini dijadual berlepas pada 4 Julai hingga 4 Ogos ini. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!