Syarikat didenda gagal lapor kemalangan di tempat kerja
TANJUNG MALIM- Sebuah syarikat pembuatan konkrit didenda RM12,000 oleh Mahkamah Majistret Tanjung Malim hari ini atas dua pertuduhan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994, April lalu.
Majistret Nur Laila Mohamed Nazil menjatuhkan hukuman denda RM6,000 bagi setiap pertuduhan selepas Juta Taraf Concrete Products Sdn Bhd sebagai majikan mengaku salah sejurus pertuduhan dibacakan di hadapannya.
Mengikut pertuduhan pertama, syarikat tersebut telah gagal dengan serta-merta memberitahu pejabat Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) terdekat dengan cara yang paling cepat mengenai insiden kren bergerak yang tumbang di tempat kerja pada 2 April lalu.
Bagi pertuduhan kedua, majikan tersebut telah mengganggu tempat kejadian berbahaya berkaitan dengan mengalihkan beberapa bahagian jentera yang tumbang tanpa diberi kuasa oleh pejabat JKKP Perak pada 4 April lalu.
Kedua-dua pertuduhan dilakukan mengikut Peraturan 5(1)(aa), Peraturan-Peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pemberitahuan Mengenai Kemalangan, Kejadian Berbahaya, Keracunan Pekerjaan dan Penyakit Pekerjaan) 2004 dan Peraturan 9, peraturan sama.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa JKKP Perak, Mudzaffar Anwar Hussin.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!