Lelaki tetak kekasih anak kerana hutang

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SIBU - Seorang lelaki berusia 52 tahun bertindak menetak tangan kekasih anak perempuannya selepas dia diminta melangsaikan hutang sebanyak RM30,000.

Mangsa ditetak ketika sedang duduk bersama-sama kekasihnya yang berusia 28 tahun di rumah suspek di Jalan Pahlawan di sini pada 6.25 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Stanley Jonathan Ringgit berkata mangsa sebelum itu menelefon suspek untuk memberitahu dia hendak datang ke rumah dan membincangkan secara baik tentang wang yang dipinjam bapa kekasihnya itu pada 2017 namun panggilan itu tidak dijawab.

"Semasa mangsa sedang duduk bersama-sama kekasihnya di ruang tamu, suspek dengan marah-marah muncul membawa sebilah parang lalu menetak tangan kiri mangsa sebelum melarikan diri,” kata Stanley.

Suspek yang ditangkap polis di sebuah kedai kopi di Jalan Long Bridge pada 4 pagi ini mengaku mencederakan lelaki itu.

Dia kemudiannya mengaku membuang parang yang digunakan itu ke Sungai Rajang dekat Jambatan Lanang di sini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana sengaja mendatangkan kecederaan dengan menggunakan senjata berbahaya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!