SRC milik Najib, kata saksi
KUALA LUMPUR - Seorang pegawai kanan Kementerian Kewangan hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa Memorandum Jemaah Menteri bagi surat jaminan kerajaan untuk SRC International Sdn Bhd perlu dibuat dengan segera kerana syarikat itu adalah milik bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Timbalan Setiausaha Bahagian Pelaburan Strategik Kementerian Kewangan, Afidah Azwa Abdul Aziz, 44, berkata perkara itu diberitahu oleh Setiausaha Bahagiannya, Maliami Hamad, selepas beliau menyoal mengapa Memorandum Jemaah Menteri (MJM) perlu disiap dengan segera pada hari yang sama selepas berjumpa Nik Faisal Ariff Kamil dan Zahid Taib.
Saksi pendakwaan ke-40 itu berkata demikian ketika pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Suhaimi Ibrahim pada hari ke-29 perbicaraan kes Najib berhubung penyelewengan dana SRC berjumlah RM42 juta.
Suhaimi: Ketika disoal balas oleh peguam, puan memberitahu kamu pernah terlibat dalam lima pemprosesan ‘Government Guarantee’ sebelum ini. Soalan saya, apakah prosedur sebelum government guarantee dikemukakan kepada Kabinet?
Afidah Azwa: Untuk proses permohonan lima government guarantee, kami ada masa untuk mengaturkan mesyuarat dan ada masa untuk memanggil pihak kementerian berkenaan, bincang dan meneliti akaun syarikat selain dapat mengetahui projek-projek yang akan dilaksana untuk dimajukan kepada Jemaah Menteri.
Suhaimi: Berapa tempoh masa kamu ambil untuk menyiapkan memorandum bagi SRC?
Afidah Azwa: Beberapa jam selepas jumpa Nik Faisal Ariff Kamil dan Zahid Taib.
Suhaimi: Di manakah Nik Faisal dan Zahid ketika kamu menyediakan MJM?
Afidah Azwa: Pada ketika itu, mereka berada di depan saya sambil saya menaip apa yang disampaikan oleh mereka di laptop.
Suhaimi: Adakah puan tanya kepada Maliami kenapa nak mempercepatkan MJM bagi surat jaminan kerajaan?
Afidah Azwa: Maliami berkata dia ada terima arahan.
Suhaimi: Ada atau tidak kamu tanya arahan daripada siapa?
"Seingat saya, ada. Maliami memberitahu ini (SRC) syarikat PM," kata saksi itu.
Terdahulu, jawapan saksi itu dibantah peguam Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden, yang mewakili Najib, dengan alasan jawapan itu adalah "dengar cakap" daripada Maliami.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Datuk V. Sithambaram berkata "apabila saksi mengatakan sesuatu yang tidka memihak kepada pihak pembelaan, mereka membantahnya. Ini tidak masuk akal.”
Mohd Nazlan Mohd Ghazali membenarkan soalan itu kerana Maliami juga akan dipanggil sebagai saksi dalam perbicaraan kes ini.
Najib, 66, didakwa atas tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kedudukan dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.
Perbicaraan berlangsung di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!