Anak rasa bersalah bapa maut kemalangan

Wan Izani (tiga dari kiri) bersama rombongan yang menyampaikan bayaran RM2,000 kepada Norlizma di rumah mereka di Kampung Aman Lundang tadi.
Wan Izani (tiga dari kiri) bersama rombongan yang menyampaikan bayaran RM2,000 kepada Norlizma di rumah mereka di Kampung Aman Lundang tadi.
A
A
A

KOTA BHARU - Anak sulung seorang penyelia premis ayam organik di Salor di sini tidak dapat menyembunyikan kekesalan apabila bapanya meninggal dunia selepas menghantar remaja itu ke sekolah kelmarin.

Dalam kejadian pada jam 7.30 pagi itu, mangsa Ab Salam @ Azri Abdullah, 39, maut ketika dalam perjalanan ke tempat kerja di Pasir Hor di sini selepas menghantar Nur Aqilah, 15.

Menurut isteri mangsa, Norlizma Ramli, 37, ketika itu berada di rumah dan sedang bersiap-siap untuk ke tempat kerja sebagai pembantu kedai di sebuah kedai barangan jamu serta kosmetik.

“Arwah suami pula menghantar anak sulung kami ke Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Enggang, bagaimanapun terbabit kemalangan selepas motosikal ditunggang terbabas akibat bergesel dengan sebuah kereta.

“Jadi sehingga hari ini anak sulung saya masih terkilan dan tidak dapat menyembunyikan kesedihan serta menyebut seolah-olah dia penyebab bapanya kemalangan kerana kejadian berlaku selepas menghantarnya ke sekolah,” katanya ketika di temui di rumahnya di Kampung Aman Lundang di sini hari ini.

Menurutnya, arwah yang berperwatakan periang itu disedari mula lebih banyak mendiamkan diri dan tidak ceria seperti biasa sejak mereka sama-sama menunaikan ibadah puasa pada bulan Ramadan lalu.

“Arwah memang suka bergurau dan kuat makan tetapi sejak akhir-akhir sebelum ajalnya itu dia tidak banyak bercakap dan tidak lalu makan seperti kebiasaanya.

“Hantar anak ke sekolah pun tidak banyak bertanya dan hanya banyak memerhatikan kami serta menyuarakan kebimbangan terhadap keperluan membesarkan anak-anak kami,” katanya yang turut mempunyai dua lagi anak berusia 10 tahun dan 4 tahun.

Artikel Berkaitan:

Norlizma turut menerima kunjungan Timbalan Pengarah Pertubuhan Kebajikan Sosial (Perkeso) negeri, Wan Izani Wan Isa Kelantan bersama rombongan Skuad Prihatin Perkeso yang menyampaikan bayaran Faedah Pengurusan Mayat (FPM) berjumlah RM2,000.

Norlizma yang tidak dapat menahan sebak dan terharu menerima bayaran daripada pihak Perkeso.
Norlizma yang tidak dapat menahan sebak dan terharu menerima bayaran daripada pihak Perkeso.

Keluarga itu juga bakal menerima Pencen Penakat arwah suaminya secara bulanan sebanyak RM820.83 sepanjang hayat bagi Norlizma, manakala anak-anak sehingga ke usia 21 tahun.

Norlizma berkata, dia tidak sangka urusan pencen penakat suaminya selesai dengan begitu cepat sekali gus dapat mengurangkan bebannya yang kini menggalas tanggungjawab sebagai ketua keluarga.

“Saya tidak tahu pun (bantuan) begini ada, arwah suami semasa hidupnya adalah seorang yang bekerja keras untuk cari duit bagi keluarga kami, dia baharu sahaja bekerja dua bulan di tempat baharu dan sebahagian gaji terakhirnya belum dibayar majikan.

“Kami tidak ada simpanan, jadi pencen Perkeso ini sangat membantu kami anak beranak menampung hidup selepas ini,” katanya sebak.

Allahyarham Ab Salam @ Azri yang bekerja sebagai penyelia kedai memproses ayam organik di Salor maut selepas motosikal yang ditunggangnya bergesel dengan sebuah kereta sebelum terbabas di Pasir Hor pada jam 7.30 pagi hari kelmarin.

Sementara itu, Wan Izani berkata, pihaknya menyempurnakan bayaran FPM berjumlah RM2,000 kepada keluarga berkenaan dan Norlizma bakal menerima Pencen Penakat arwah suaminya secara bulanan sebanyak RM820.83 untuk sepanjang hayat.

“Kami sangat berterima kasih kepada laporan media mengenai kemalangan maut itu yang membolehkan Perkeso membuat semakan dan memproses tuntutan dengan segera.

“Arwah adalah seorang pencarum Perkeso dari semasa dia bekerja dengan majikan lama dahulu.

“Ketiga-tiga anak arwah berusia 4,10 dan 15 tahun akan turut menerima bahagian mereka daripada saham penakat tersebut sehingga berumur 21 tahun dan menampung pengajian Ijazah Sarjana Muda pertama anak-anak sekitanya mereka melanjutkan pengajian tinggi,” katanya.

Bantuan juga boleh disalurkan kepada keluarga ini melalui akaun Norlizma Ramli Bank Islam 03036020461286.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!