Polis tumpas sindiket buat lesen, cukai jalan palsu

Antara peralatan yang dipercayai digunakan dalam sindiket pemalsuan cukai jalan dan lesen memandu kenderaan.
Antara peralatan yang dipercayai digunakan dalam sindiket pemalsuan cukai jalan dan lesen memandu kenderaan.
A
A
A

JASIN - Polis berjaya menumpaskan kegiatan sindiket membuat cukai jalan dan lesen memandu palsu menerusi Operasi Morten di negeri ini.

Operasi bermula Selasa dan Rabu lalu disertai Unit Risikan/Operasi Bukit Aman dibantu Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik daerah Jasin (Melaka) serta Balai Polis Tanjung Sepat (Selangor) telah menahan lima individu di Melaka dan Selangor termasuk dua wanita.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Datuk Mohd Nadzri Hussain berkata, kelima-lima mereka ditahan dipercayai terbabit dalam sindiket cukai jalan palsu yang dipasarkan ke seluruh negara dan pihaknya telah menjalankan risikan sejak 12 Jun lalu, berkaitan pemalsuan cukai jalan dan lesen memandu kenderaan.

"Kira-kira jam 11 pagi, Selasa lalu, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman menerima maklumat berkaitan aktiviti mencetak dan menjual cukai jalan palsu atas talian.

"Bertindak atas maklumat itu, pasukan dipecahkan kepada dua kumpulan iaitu A dan B bagi mengesan ahli sindiket cukai jalan dan lesen palsu yang dipercayai di sekitar Melaka dan Selangor," katanya.

Menurutnya, selepas membuat tinjauan di beberapa lokasi berpotensi, anggota bertugas berjaya mengesan tiga lelaki iaitu dua di Tanjung Sepat manakala seorang lagi di Jasin.

Menurutnya, kira-kira jam 6 petang, pasukan A melakukan serbuan pertama di Jasin bagi mengesan suspek pertama yang memandu kereta pacuan empat roda 4x4 Nissan Frontier dan berjaya mengesannya di Felda Kemendor, sebelum suspek memberhentikan kenderaan di sebuah taman perumahan di Bemban.

Katanya, polis kemudian memperkenalkan diri bagimanapun berlaku pergelutan sebelum suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin.

Artikel Berkaitan:

"Siasatan awal ke atas suspek, polis mendapat maklumat mengenai lokasi operasi sindiket itu di tiga lokasi berasingan yang ditunjukkan suspek serta isterinya sehingga berjaya merampas barangan cetakan dan urusan pengiriman cukai jalan palsu kepada pembeli," katanya.

Mohd Nadzri berkata, ketika pemeriksaan, isteri dan anak saudara suspek (wanita) tidak mahu memberikan kerjasama yang baik dengan menyembunyikan telefon bimbit suspek, pencetak, pemotong kertas dan komputer riba, menyebabkan kedua-duanya turut ditahan kerana menghalang penjawat awam.

Menurutnya, lebih kurang jam 12.30 tengah malam kelmarin, satu lagi pasukan mengesan suspek kedua dan ketiga di Tanjung Sepat, Selangor yang dipercayai bertindak sebagai runner atau orang tengah.

Katanya, suspek kedua dan ketiga merupakan adik-beradik yang aktif membantu suspek pertama menjalankan aktiviti mencetak dan menjual cukai jalan serta lesen palsu ke seluruh negara.

"Tiga suspek lelaki penternak ayam berusia 42 tahun, serta adik-beradik juga penganggur masing-masing berusia 23 dan 26 tahun, ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Suspek pertama turut disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas, bersama-sama isterinya yang juga kerani sekolah berusia 34 tahun dan anak saudara (wanita) berusia 38 tahun.

Beliau berkata, cukai jalan palsu yang dihasilkan suspek adalah gred A dan amat mirip kepada cukai jalan sebenar dan modus operandi sindiket ini dengan menggunakan 'runner' yang akan mengiklankan dan mencari pelanggan termasuk menggunakan pelantar Facebook dan Instagram.

"Kebanyakan pelanggan adalah pemilik kenderaan klon dan selepas pelanggan membuat bayaran kepada runner, runner akan membuat tempahan kepada suspek utama lalu suspek utama membuat dan mengepos cukai jalan ke seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak," katanya.

Ketiga-tiga suspek lelaki kemudiannya direman empat hari manakala dua suspek wanita direman tiga hari.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!