Boris Johnson terus jadi calon pilihan PM baharu Britain

Gambar kombinasi menunjukkan empat calon yang akan bersaing (dari kiri) Hunt, Jonhnson, Gove dan Sajid.
Gambar kombinasi menunjukkan empat calon yang akan bersaing (dari kiri) Hunt, Jonhnson, Gove dan Sajid.
A
A
A

LONDON - Boris Johnson semalam mengukuhkan kedudukannya sebagai calon pilihan untuk menjadi Perdana Menteri baharu Britain selepas sokongan ke atas beliau meningkat dalam pusingan ketiga pemilihan kepimpinan Parti Konservatif.

Johnson memperoleh 143 daripada 313 undi diikuti Setiausaha Luar, Jeremy Hunt dengan 54 undi, Menteri Alam Sekitar, Michael Gove dengan 51 undi di tangga ketiga dan Menteri Dalam Negeri, Sajid Javid di kedudukan terakhir dengan 38 undi.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Antarabangsa, Rory Stewart yang hanya meraih 27 undi telah tersingkir untuk bersaing dalam pusingan seterusnya.

Difahamkan, empat calon terbabit akan berdepan dua pusingan pengundian pada hari ini sebelum dua calon berentap di pusingan akhir yang mana anggota akar umbi Parti Konservatif akan memutuskan siapa bakal menjadi pengganti bekas Perdana Menteri, Theresa May pada akhir bulan depan.

Johnson yang merupakan bekas Datuk Bandar London berikrar untuk meneruskan langkah Britain keluar dari Kesatuan Eropah (EU) menjelang 31 Oktober depan tidak kira apa yang berlaku, sekali gus meningkatkan prospek Brexit tidak disepakati yang dikhuatiri boleh membahayakan ekonomi dan pelaburan. - Reuters

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!