Enam bulan sediakan syor kehilangan Raymond Koh, Amri

Muhyiddin
Muhyiddin
A
A
A

SERDANG - Pasukan Petugas Khas bagi meneliti laporan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) berhubung kehilangan Pastor Raymond Koh Keng Joo dan aktivis sosial Amri Che Mat diberikan masa selama enam bulan untuk menyediakan syor kepada kerajaan.

Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata nama-nama individu yang akan menganggotai pasukan itu telah dibawa ke Kabinet dan akan diumumkan minggu depan.

"Kita tentukan mereka yang dipilih adalah tidak berat sebelah, mempunyai obligasi yang diperlukan supaya hasil laporan dan syor tidak dikatakan berat sebelah,” katanya kepada pemberita pada majlis sambutan Aidilfitri Kementerian Dalam Negeri di sini hari ini.

Pada 23 Mei lepas, Muhyiddin mengumumkan Kabinet bersetuju menubuhkan pasukan petugas khas yang bakal dianggotai antara enam dan tujuh individu bertujuan meneliti laporan Suhakam, seterusnya mengesyorkan tindakan wajar yang perlu diambil oleh kerajaan atau pihak yang bertanggungjawab dalam kes kehilangan dua individu tersebut.

Muhyiddin berkata berdasarkan laporan Suhakam itu, kerajaan juga telah menyediakan terma rujukan khusus untuk panduan pasukan petugas khas itu sepanjang proses berkenaan.

"Tempoh enam bulan dirasakan sesuai bagi pasukan tersebut meneliti laporan dan menyediakan syor tertentu bagi dibentangkan kepada jemaah menteri," katanya.

Pasukan petugas khas itu juga harus mengambil maklum bahawa ada kes berkaitan paderi itu sedang dibicarakan di mahkamah, katanya.

Sementara itu, Muhyiddin berkata Malaysia belum menerima permintaan rasmi kerajaan India untuk mengekstradisi Dr Zakir Naik walaupun mahkamah negara itu sudah mengeluarkan arahan yang penceramah bebas itu perlu hadir ke mahkamah pada 31 Julai depan.

Artikel Berkaitan:

"Setakat ini, Kementerian Luar dan Kementerian Dalam Negeri belum menerima permohonan dari kerajaan India," katanya.

Semalam, sebuah mahkamah di India mengeluarkan arahan meminta Zakir hadir ke mahkamah negara itu pada 31 Julai ini atau berdepan dengan waran tangkap jika gagal menghadirkan diri. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!