Bomba selamatkan 4 remaja terperangkap arus deras
HULU SELANGOR - Empat orang remaja berdepan detik cemas apabila terperangkap di Air Terjun Serendah berikutan arus deras dalam kejadian yang berlaku pada petang tadi.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 5.09 petang dan pasukan penyelamat tiba di lokasi sekitar jam 5.58 petang.
Beliau berkata, sejurus tiba pihaknya mendapati dua remaja lelaki dan perempuan berusia lingkungan 18 tahun terperangkap di lereng bukit berikutan air yang terlalu deras.
"Hasil tindakan pantas, kesemua mangsa berjaya diselamatkan dan tidak mengalami sebarang kecederaan ekoran insiden tersebut," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, sebuah jentera bersama Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan turut dikejarkan ke lokasi kejadian bagi membantu tugas menyelamat.
Tambahnya, mangsa terlibat turut diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!