Kerajaan beri diskaun perkhidmatan mudah alih bagi OKU
PUTRAJAYA - Orang Kelainan Upaya (OKU) akan mendapat diskaun antara RM10 dan RM15 bagi pakej perkhidmatan mudah alih pra bayar dan pasca bayar manakala diskaun antara RM10 dan RM44 bagi pakej tertentu untuk perkhidmatan talian tetap.
Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo berkata inisiatif itu akan dilaksanakan melalui kerjasama kerajaan dengan penyedia perkhidmatan telekomunikasi utama dan penyedia perkhidmatan talian tetap.
Ia adalah antara inisiatif kerajaan untuk memastikan semua lapisan masyarakat tidak ketinggalan dalam menghadapi perkembangan revolusi dunia digital dan Revolusi Industri 4.0, di mana penggunaan aplikasi teknologi terkini merangkumi semua aspek kehidupan pada masa akan datang, katanya.
"Kerajaan amat prihatin terhadap golongan OKU dan ingin memastikan bahawa mereka juga mendapat manfaat kelebihan ekonomi digital serta tidak ketinggalan dalam menaik taraf perniagaan talian mereka menerusi teknologi,” katanya pada majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri Kementerian Komunikasi dan Multimedia di sini hari ini.
Ditanya bilakah pelaksanaan diskaun tersebut, Gobind berkata ia akan diumumkan dalam masa terdekat.
Gobind dalam kenyataan berhubung diskaun untuk golongan OKU itu berkata syarikat Celcom, Digi, Maxis dan uMobile menawarkan diskaun untuk pakej pasca bayar manakala YTL pula menawarkan diskaun untuk pakej pra bayar.
Bagi perkhidmatan talian tetap pula, Telekom Malaysia menawarkan diskaun sebanyak RM22 hingga RM44 untuk pakej Streamyx dan RM10 untuk pakej Unifi manakala Celcom akan memberi diskaun RM10 untuk pakej Home Wireless, katanya.
"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada syarikat-syarikat telekomunikasi kerana mengambil langkah proaktif untuk mengemukakan dan melaksanakan pakej-pakej ini untuk membantu inisiatif ini,” katanya.
Sementara itu beliau ditanya sama ada Malaysia antara negara yang ditinjau oleh Apple Inc untuk memindahkan kapasiti pengeluaran mereka dari China ke Asia Tenggara, Gobind berkata beliau tidak dapat memberi pandangan kerana ia belum disemak.
Menurut laporan media, Malaysia merupakan antara negara yang disebut-sebut sebagai lokasi baharu operasi syarikat itu bagi pembuatan telefon pintar iPhone.
Selain Malaysia, syarikat itu turut menyenaraikan beberapa lagi negara termasuk Indonesia, Vietnam, India dan Mexico.
Langkah pemindahan itu diambil susulan keputusan syarikat itu menutup operasinya di China.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!