Graduan harus jadikan OKU kerja sendiri sebagai contoh
GOMBAK - Golongan graduan dan bakal graduan di negara ini harus menjadikan orang kurang upaya (OKU) yang bekerja sendiri sebagai contoh dan pendorong untuk tidak tergolong sebagai siswazah penganggur.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar berkata, beliau melihat banyak kisah bagaimana golongan OKU fizikal mampu berdikari dan ia seharusnya dijadikan iktibar kepada golongan muda apatah lagi sebagai pemegang ijazah yang sempurna anggota badan.
Menurutnya, siswazah perlu memanfaatkan apa jua peluang yang datang tanpa mengambil kira faktor kelayakan berdasarkan kelulusan yang dimiliki.
“Saya melihat bagaimana seorang OKU buta tetapi mampu berdikari sebagai mekanik. Malah terdapat juga yang nak pergi bengkel sendiri pun berkerusi roda tetapi dia mampu menggajikan pekerja yang terdiri daripada mereka yang sempurna anggota badan.
“Mereka tiada diploma atau ijazah tetapi boleh melayari kehidupan. Saya sebut ini supaya pelajar (IPT) bila keluar, jangan jadi siswazah penganggur. Jika tiada kerja yang datang pada kita, pada saya segulung diploma dan ijazah boleh mencipta pekerjaan.
“Ambil dulu peluang yang datang, InsyaALLAH ada rezeki lebih baik yang akan diperolehi kelak,” katanya ketika berucap pada Majlis Sentuhan Kasih Aidilfitri 2019 di Kolej Islam Antarabangsa, Taman Batu Muda, di sini semalam.
Majlis yang dianjurkan oleh Persatuan Generasi Sejahtera (i-Sejahtera) itu turut meraikan golongan OKU sindrom down dan anak-anak yatim setempat.
Dalam pada itu, Mahfuz yang juga Penaung i-Sejahtera berkata, penganjuran program bawah i-Sejahtera yang digerakkan oleh anak-anak muda dalam kalangan pelajar IPT itu adalah usaha baik yang wajar dipuji.
“Ia sebagai usaha untuk menggerakkan anak-anak muda berinteraksi dengan masyarakat. Apabila mereka sudah terdedah dengan keadaan ini sejak peringkat IPT lagi, interaksi akan menjadi lebih mudah dengan pengalaman mereka dalam NGO i-Sejahtera,” katanya.
Terdahulu dalam majlis sama, beliau turut menyampaikan sumbangan kepada pusat kebajikan dan tahfiz terpilih.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!