Tampar polis: Farid Kamil diperintah bela diri

Farid Kamil ketika ditemui media pada prosiding kes hari ini
Farid Kamil ketika ditemui media pada prosiding kes hari ini
A
A
A

PELAKON, Datuk Farid Kamil diperintah bela diri oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya terhadap empat pertuduhan termasuk menampar seorang anggota polis trafik di Balai Polis Kota Damansara, tahun lalu.

Perintah itu dikeluarkan oleh Majistret Nor Ariffin Hisham sebenar tadi selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie di akhir kes pendakwaan.

"Setelah meneliti dan mempertimbangkan keterangan, saksi- saksi dan eksibit serta penilaian maksima kredibel, mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie.

"Dengan ini, tertuduh diperintah bela diri," katanya.

Farid Kamil, 38, memilih untuk membela diri dengan memberi keterangan secara bersumpah di kandang saksi.

Justeru, mahkamah menetapkan 17 dan 18 Julai sebagai tarikh bela diri.

Pada prosiding itu, pendakwaan diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya Alia Sumayyah Amran manakala Datuk Amirul Ridzuan Hanif bertindak sebagai peguam bela Farid Kamil.

Pada 16 Januari 2018, suami kepada Diana Danielle itu mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan dengan sengaja mendatangkan kecederaan kepada orang awam, Ashraf Ahmad,36, dan Konstabel Mohd Nizam Jamaluddin, 25.

Artikel Berkaitan:

Farid Kamil juga didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap Mohd Nizam sebagai pegawai dengan niat menghalangnya melakukan tugas.

Pelakon Tombiruo itu turut didakwa berkelakuan tidak senonoh dengan mengeluarkan perkataan tidak sopan terhadap Konstabel Mohd Nizam sehingga boleh mendatangkan kemarahan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di kaunter pertanyaan Balai Polis Trafik Kota Damansara kira-kira jam 1.20 petang, pada 11 Januari 2018.

Kesemua kesalahan itu dikemukakan mengikut Seksyen 323 dan Seksyen 353 Kanun Keseksaan serta Seksyen 90 Akta Polis 1967.

Pada 15 Mei lalu, Mahkamah Majistret Petaling Jaya menjatuhkan hukuman penjara sembilan bulan selepas Farid Kamil memilih untuk berdiam diri pada prosiding pembelaan bagi kes menggunakan dadah jenis ganja Tetra Hydrocannibol (THC).

ARTIKEL BERKAITAN: Dadah: Farid Kamil dipenjara sembilan bulan

Mahkamah turut memerintahkan Farid Kamil berada di bawah pengawasan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) selama dua tahun.

Pada Rabu lalu, Mahkamah Tinggi Shah Alam membenarkan Farid Kamil menangguhkan perlaksanaan hukuman penjara sehingga rayuan terhadap keputusan mahkamah majistret diputuskan.

Farid Kamil yang sebelum ini menjalani hukuman penjara selama 35 hari.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!