'Masih belum ada punca spesifik'
PASIR GUDANG - Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor mendapati tiada punca spesifik yang menyebabkan masalah gangguan kesihatan melibatkan 15 mangsa termasuk 13 murid dari dua buah sekolah di sini.
Exco Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan, Mohd Khuzzan Abu Bakar berkata, perkara itu dimaklumkan menerusi beberapa pemantauan yang dilakukan secara berkala oleh agensi berkenaan sejak petang semalam.
“Sehingga kini siasatan yang dibuat JAS mendapati tiada punca spesifik menyebabkan masalah gangguan kesihatan tersebut.
“Siasatan awal JAS juga mengesahkan tiada sebarang kejadian pembuangan atau pelupusan haram buangan jadual di kawasan sekitar,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Pusat Gerakan Operasi Pemantauan di Stadium Pasir Gudang di sini hari ini.
Hadir sama, Exco Pendidikan, Sumber Manusia, Sains dan Teknologi, Aminolhuda Hassan dan Exco Perumahan, Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Menurutnya, kerajaan negeri boleh mengesahkan bahawa sehingga kini keadaan di Pasir Gudang masih terkawal selain mempunyai paras udara yang normal.
“Pemantauan kualiti udara dibuat secara berkala (setiap empat jam) dan sebarang perubahan terhadap kualiti udara akan dimaklumkan segera bagi tindakan selanjut.
"Berdasarkan pemantauan awal kualiti udara oleh Jas dan Unit Bahan Berbahaya (Hazmat) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Johor, bacaannnya adalah baik,” katanya.
Mohd Khuzzan berkata, bacaan bagi parameter Karbon Monoksida (CO), Hidrogen Sulfida (H2S) dan Voltile Organic Compounds (VOS) adalah pada paras sifar manakala bacaan paras Oksigen pula adalah 21.2 peratus.
"Pemantauan lanjut terhadap punca pencemaran ini adalah membabitkan kawalan udara merangkumi radius dua kilometer dari kawasan terjejas," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: 13 murid, 2 wanita muntah, sesak nafas
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!