Tiada kena mengena dengan Sungai Kim Kim: Exco

Keadaan salah seorang pelajar ketika menerima rawatan susulan kejadian itu semalam
Keadaan salah seorang pelajar ketika menerima rawatan susulan kejadian itu semalam
A
A
A

PASIR GUDANG - Kerajaan Johor menafikan insiden gangguan kesihatan melibatkan murid Sekolah Agama Taman Mawar semalam mempunyai kaitan dengan pencemaran yang berlaku di Sungai Kim Kim Mac lalu.

Exco Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Mohd Khuzzan Abu Bakar berkata, perkara itu melihat daripada faktor jarak dah hasil siasatan dilakukan agensi terlibat sejak semalam.

“Setakat ini tidak (ada kena mengena dengan Sungai Kim Kim), jaraknya jauh, lebih kurang enam kilometer dari kawasan sekolah. Buat masa ini pemantauan sedang giat dilakukan dan kita akan maklum secepat mungkin.

“Siasatan dilakukan juga mengesahkan tiada sebarang kejadian pembuangan atau pelupusan sisa buangan berjadual di kawasan sekitar,” katanya pada sidang media di Bilik Gerakan Operasi Pemantauan di Stadium Pasir Gudang di sini hari ini.

Dalam pada itu, menurutnya, mangsa terlibat yang menerima rawatan di hospital berada dalam keadaan stabil dan baik malah jumlah pesakit yang menerima rawatan sudah menurun kepada enam mangsa berbanding 15 semalam.

“Kita terima maklumat terdapat 15 mangsa terdiri daripada 13 murid dan dua wanita dewasa dihantar mendapatkan rawatan di hospital. Keadaan pesakit stabil dan hanya ditempatkan di wad biasa.

“Sehingga kini, beberapa daripada mereka sudah dibenarkan pulang, dan hanya enam sahaja yang masih menerima rawatan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!