Banduan akhir bertemu keluarga sempena Syawal

Banduan di Penjara Pulau Pinang gembira dapat meluangkan masa dengan keluarga masing-masing semalam.
Banduan di Penjara Pulau Pinang gembira dapat meluangkan masa dengan keluarga masing-masing semalam.
A
A
A

GEORGETOWN - Empat banduan akhir yang kini sedang menunggu pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong untuk dibebaskan dari hukuman gantung bersyukur apabila diberi peluang berjumpa keluarga masing-masing pagi semalam.

Mereka adalah sebahagian daripada 10 banduan di Penjara Pulau Pinang yang dipilih untuk bertemu dan beramah mesra dengan keluarga masing-masing selama dua jam sempena Majlis Jalinan Kasih Hari Raya Aidilfitri.

Roslan (bukan nama sebenar) 30an berkata, dia berasa bersyukur kerana dipilih dan diberi kesempatan untuk berjumpa keluarganya pada Syawal tahun ini.

Dia yang dijatuhi hukuman gantung kerana kesalahan mengedar dadah berkata, ia pertemuan kali ketiga sepanjang enam tahun dia berada di penjara tersebut.

"Terima kasih kepada pihak penjara kerana memilih saya untuk kali ketiga bagi bertemu dengan ahli keluarga saya. Saya amat gembira hari ini kerana ibu, bapa, adik dan dua anak saya datang untuk berjumpa dengan saya.

"Dengan cara seperti ini, saya tidak berasa tersisih daripada keluarga dan dengan kehadiran mereka, saya tahu mereka sentiasa bersama saya walaupun saya pernah melakukan kesalahan dahulu. Saya masih menunggu keputusan rayuan yang kini di peringkat Mahkamah Rayuan," katanya.

Salah seorang banduan akhir mencium ibunya sebelum Majlis Jalinan Kasih Hari Raya Aidilfitri tamat.
Salah seorang banduan akhir mencium ibunya sebelum Majlis Jalinan Kasih Hari Raya Aidilfitri tamat.

Ahmad Tahir (bukan nama sebenar) 30-an yang dijatuhi hukuman gantung kerana mengedar dadah berkata, dengan penganjuran majlis tersebut, dia dapat melepaskan rindu terhadap ahli keluarganya.

Artikel Berkaitan:

"Ini kali ketiga saya dipilih untuk bertemu keluarga sempena Hari Raya Aidilfitri. Saya terharu apabila ibu, bapa, adik dan anak-anak dari Air Itam datang berjumpa saya.

"Saya menjalani dua tahun tahanan reman dan enam tahun hukuman penjara. Saya harap rayuan saya akan diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong," katanya.

Bekas penjawat awam, Raja (bukan nama sebenar) 48 berkata, dia amat menyesal apabila terlibat dengan jenayah sehingga dijatuhi hukuman gantung sejak sembilan tahun lalu.

Banduan terpilih dapat berjumpa dan bermesra dengan keluarga masing-masing selama dua jam.
Banduan terpilih dapat berjumpa dan bermesra dengan keluarga masing-masing selama dua jam.

Dia yang telah memeluk Islam sejak beberapa tahun lalu bersyukur dengan hukuman yang dikenakan kerana ia menyedarkannya dari terus hanyut melakukan jenayah.

"Saya bersyukur kerana anak-anak dan bekas isteri masih sudi melawat saya walaupun saya pernah melakukan kesalahan besar dahulu. Saya bersyukur kerana mereka termasuk tiga cucu saya datang hari ini. Saya masuk penjara Mac 2010 kerana membunuh dan dijatuhi hukuman pada 2013.

"Saya tidak menyalahkan sesiapa, semuanya salah saya. Saya yang terjebak dengan semua ini. Nasihat saya, jauhi dadah kerana ia akan memusnahkan hidup kita. Dari najis dadah, ia akan menyebabkan jenayah lain.

"Saya anggap hukuman ini adalah kerana ALLAH SWT sayangkan saya. Jika tidak, mungkin saya masih melakukan jenayah di luar sana. Semuanya ada hikmah," katanya.

Salah seorang banduan akhir kelihatan tenang ketika diberi peluang berjumpa keluarganya.
Salah seorang banduan akhir kelihatan tenang ketika diberi peluang berjumpa keluarganya.

Sementara itu, Pengarah Penjara Reman Pulau Pinang, Tey Hock Soon berkata, majlis tersebut merupakan acara tahunan yang melibatkan 10 banduan iaitu banduan akhir, banduan hukum dan banduan reman.

Menurutnya, pemilihan banduan untuk menyertai majlis itu adalah berdasarkan kelakuan dan disiplin mereka ketika menjalani hukuman.

"Majlis seperti ini bukan hanya dibuat sempena Hari Raya Aidilfitri saja tetapi Tahun Baru Cina, Deepavali dan Krismas juga ada dianjurkan. Objektifnya adalah untuk membolehkan banduan terpilih berjumpa dan bermesra dengan keluarga mereka.

"Dengan cara ini juga bagi membolehkan keluarga memberi sokongan kepada banduan dan tidak menyisihkan mereka. Sokongan keluarga amat pentung agar mereka tidak merasa disisihkan.

"Selain itu, ia juga untuk memberi keinsafan kepada banduan agar tidak melakukan kesalahan sama selepas mereka keluar kelak," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!