Jawatankuasa diaktifkan untuk kenal pasti punca
JOHOR BAHRU - Satu jawatankuasa saintifik diaktifkan susulan gangguan kesihatan melibatkan pelajar Sekolah Agama (SA) Taman Mawar, Pasir Gudang di sini semalam.
Exco Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar Johor, Tan Chen Choon berkata, jawatankuasa tersebut adalah untuk menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca pencemaran yang berlaku.
"Sehingga kini, kualiti udara sedang dipantau Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor dan pasukan Unit Bahan Berbahaya (Hazmat).
"Pemantauan udara dilakukan dengan kadar kekerapan empat jam sekali di kawasan sekolah dan kawasan terjejas yang berada dalam radius dua kilometer dari sekolah mulai malam tadi," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, semalam pasukan Bomba dan Penyelamat Pasir Gudang menerima aduan berkenan insiden pencemaran udara di SA Taman Mawar, Pasir Gudang kira-kira jam 3.30 petang daripada pihak sekolah.
"Manakala, pihak JAS negeri menerima aduan tersebut daripada pegawai Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) pada jam 4.35 petang semalam.
"Maklumat dari pegawai MPPG, pencemaran udara tersebut dikatakan seperti bau Liquefied Pertroleum Gas (LPG) dan pihak sekolah memaklumkan bahawa bau tersebut dikesan sejak tiga hari lalu," katanya
Menurutnya, pasukan Hazmat, pasukan unit bantuan perkhidmatan kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Gudang dan Johor Bahru, JAS Johor agensi-agensi lain menjalankan kerja-kerja menyelamat dan siasatan di tempat kejadian dengan segera.
"Menurut pemantauan kualiti awal udara oleh pihak JAS dan pasukan Hazmat, parameter bagi element seperti Carbon Monoxide (CO), Hydrogen Sulfide (H2S) dan Volatile Organic Compund (VOC) adalah sifar.
"Bacaan Oxygen di tempat kejadian adalah 21.2 ppm dan ini bermaksud kualiti udara adalah normal dan terkawal.
"Pasukan Hazmat juga memperakui tiada bau dikesan di tempat kejadian sehingga kini," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Murid sesak nafas ketika program rumah terbuka sekolah
15 murid Sekolah Agama Taman Mawar muntah, sesak nafas
MB nasihatkan jangan panik kes pelajar muntah, sesak nafas
Hidu bau tengik sejak petang semalam
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!