Himpunan desak Ruslin kekal penyelaras DUN Ayer Limau
ALOR GAJAH - Beberapa pemimpin parti Bersatu negeri mendesak agar Penyelaras DUN Ayer Limau, Datuk Seri Ruslin Hasan terus dikekalkan meneraju jawatan itu untuk tempoh seterusnya.
Ruslin yang mula memegang jawatan itu sejak PH mengambil alih kerajaan tahun lalu, baru-baru ini telah dimaklum agar mengosongkan jawatan tersebut untuk memberi laluan kepada bekas calon PRU14 bagi Parlimen Masjid Tanah, Datuk Dr Sabirin Jaafar berkuatkuasa 1 Julai depan.
Mereka turut mendakwa, semua tindakan diputuskan Ketua Badan Pimpinan Bersatu negeri, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof dengan membelakangkan beberapa pemimpin parti di peringkat bahagian.
Ekoran itu semalam, beberapa pemimpin sayap parti, ketua bahagian serta beberapa Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dalam Parlimen Masjid Tanah bersama lebih 150 pengikut mengadakan perhimpunan bagi menyatakan suara mereka untuk mempertahankan jawatan disandang Ruslin di hadapan Kompleks Japerun Ayer Limau.
Ketua Srikandi Bersatu negeri, Azalina Abdul Rahman berkata, tidak ada sebab kukuh untuk menukar Ruslin memandangkan beliau seorang yang berpengalaman luas dalam pentadbiran kerajaan dan mampu memberikan perkhidmatan terbaik untuk rakyat Ayer Limau.
"Ruslin seorang yang aktif menganjurkan aktiviti-aktiviti kebajikan, keagamaan dan pendidikan melibatkan masyarakat setempat DUN Ayer Limau malah Srikandi dan Armada Bersatu Melaka sering terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam aktiviti yang dianjurkan pemimpin itu di peringkat DUN Ayer Limau," katanya.
Ketua Armada Bersatu negeri, Ramlan Meon pula menyatakan dalam satu mesyuarat badan pimpinan Bersatu Melaka, majoriti ahli yang sah pernah membangkitkan bantahan kepada Mohd Redzuan untuk tidak secara sewenang-wenangnya menyingkirkan Ruslin sebagai Penyelaras DUN Ayer Limau.
"Malangnya, beliau masih berdegil dan tidak mengendahkan suara majoriti ahli mesyuarat badan pimpinan Bersatu negeri.
"Tindakan beliau ini jelas tidak selari dengan keputusan Bersatu pusat yang menetapkan sebarang penukaran atau perlantikan penyelaras DUN atau Parlimen perlu mendapat kelulusan dan persetujuan Bersatu Pusat dan bukan bidang kuasa beliau sebagai Ketua Badan Pimpinan Bersatu Melaka.
"Apa salah Ruslin, sedangkan beberapa penyelaras DUN lain masih dilanjutkan tempoh perkhidmatannya tetapi beliau akan ditamatkan akhir Jun ini," katanya.
Ketua Srikandi Bersatu Bahagian Masjid Tanah, Maria Yusof pula mendesak supaya pimpinan tertinggi Bersatu campurtangan bagi mengekalkan Ruslin meneraju jawatan itu.
"Srikandi Bersatu Masjid Tanah menolak percaturan politik individu berkepentingan yang merugikan parti dan kami tidak akan berkompromi dengan usaha terancang menjatuhkan Ruslin," katanya.
Timbalan Ketua Bersatu Masjid Tanah, Nazri Ramli pula menganggap tindakan menukarkan Penyelaras DUN Ayer Limau adalah suatu tindakan kurang bijak.
"Bersatu Masjid Tanah perlu dikukuhkan dan bukan untuk dilemahkan dan tindakan untuk menukarkan Ruslin kini amatlah tidak sesuai," katanya.
Mereka turut menjelaskan, percubaan penyingkiran ini bukan kali pertama dilakukan pihak berkenaan malah usaha menyingkirkan Ruslin pernah dibuat melalui surat bertarikh 10 Januari lalu dengan notis penamatan jawatan tidak sampai 24 Jam tetapi gagal.
Sementara itu, Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari yang juga Pengerusi PH negeri ketika diminta mengulas mengenai isu tersebut berkata, setakat ini kedudukan Ruslin selaku Penyelaras DUN Ayer Limau masih kekal sehingga tempoh berakhir Jun ini.
"Jawatan Ruslin masih kekal hingga Jun ini dan sebarang keputusan penukaran ataupun sebaliknya akan diputuskan semula kelak," katanya kepada pemberita pada satu sidang media di pejabatnya hari ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!