MPM gesa tepis tuntutan hak asasi bertentangan syariat Islam

Dr Hasan Mad
Dr Hasan Mad
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Majlis Perundingan Melayu (MPM) menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk melihat kesatuan serta kerjasama yang kukuh di kalangan jabatan atau agensi agama dalam usaha menepis segala permintaan berkaitan hak asasi manusia yang bertentangan dengan syariat Islam serta Perlembagaan Persekutuan.

Setiausaha Agungnya, Datuk Dr Hasan Mad berkata, titah baginda itu tepat pada masanya serta menggambarkan kewibawaan baginda serta institusi Raja-raja Melayu yang senantiasa prihatin serta mengikut dengan rapat perkembangan serta cabaran yang didepani institusi-institusi yang diamanahkan untuk menjaga kepentingan Islam dan masyarakat umum.

“MPM sebelum ini telah beberapa kali melahirkan rasa gusar mengenai gerakan berterusan beberapa pihak tidak bertanggungjawab, khususnya daripada kalangan badan bukan kerajaan (NGO) yang mahu merubah landskap keamanan dan kestabilan negara melalui cara mengganggu-gugat asas-asas Perlembagaan Persekutuan.

“Dalam hal ini, MPM menyeru agar semua pihak menghayati titah baginda YDPA dalam memastikan kepatuhan serta ketaatan terhadap peruntukan-peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

“MPM yakin bahawa pendirian YDPA yang mewakili keprihatinan Raja-raja Melayu secara ijma’ penting dalam menjamin kemakmuran dan kestabilan negara. Atas sebab yang demikian maka MPM telah secara konsisten mempertahankan institusi Raja-raja Melayu yang sangat relevan dan berperanan dalam mempertahankan Perlembagaan Persekutuan dan kedaulatan tanahair,” katanya.

Sehubungan itu juga, MPM turut menyeru rakyat bersatu padu di bawah naungan Yang di-Pertuan Agong dan menolak sebarang usaha NGO-NGO liberal atau mana-mana pihak yang sering berkeras ingin melaksanakan tuntutan hak asasi manusia beracuan Barat yang tidak semuanya sesuai dengan agama Islam dan adat budaya masyarakat Malaysia.

“Tuntutan hak asasi manusia hendaklah bersesuaian dengan Islam, kehendak Perlembagaan Persekutuan dan nilai-nilai adat budaya kita.

“MPM sekali lagi menjunjung kasih di atas titah baginda dan akan sentiasa mendoakan kesejahteraan Tuanku dalam menjalankan amanah selaku ketua agama Islam dan negara yang dicintai ini,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!