Tiga suspek dipercayai jual arak beracun direman
PORT DICKSON – Tiga suspek dipercayai terlibat dengan aktiviti penjualan arak beracun ditahan reman selama empat hari untuk bantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, suspek berusia 19 hingga 56 tahun itu direman sehingga 24 Jun ini bagi membantu polis menjalankan siasatan.
Katanya, suspek termasuk dua beranak itu ditahan kerana didapati menjual arak beracun itu kepada orang ramai dengan harga RM7.50.
“Hasil siasatan awal, mereka memaklumkan telah membeli sebanyak 24 tin arak jenama Miludeer kepada seorang lelaki dengan harga RM140.
“Kini pihak kita sedang mengesan lelaki tersebut untuk membantu siasatan,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan, dua maut manakala tiga lagi masih mendapatkan rawatan di Unit ICU akibat mengalami keracunan methanol.
Kematian membabitkan seorang lelaki warga Myanmar, 27, dan seorang remaja perempuan dari Jempol, 26, dipercayai akibat terminum arak beracun dari jenama Miludeer, yang dipercayai tidak berdaftar secara sah.
Dalam pada itu, Aidi Sham berkata, setakat jam 2 petang semalam, tiga mangsa yang dirawat masih berada dalam keadaan yang sama, dua dilaporkan stabil, manakala seorang lagi masih tidak sedarkan diri.
ARTIKEL BERKAITAN: Seorang lagi mangsa keracunan arak meninggal dunia
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!