Siasat pegawai MPS keluar lesen operasi kilang tak ikut SOP
PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diminta menyiasat dakwaan seorang pegawai tinggi Majlis Perbandaran Sepang (MPS) yasng dikatakan tidak mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) dalam pemberian lesen sementara kepada sebuah kilang memproses sisa plastik import untuk beroperasi di Sepang.
Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pelek, Selangor, Ronnie Liu Tian Khiew, yang membuat laporan SPRM di sini hari ini mendakwa pegawai itu meluluskan lesen sementara bagi tempoh enam bulan bagi kilang yang dikendalikan sebuah syarikat beroperasi, meskipun mendapat bantahan dari penduduk sekitar.
Menurutnya, pegawai itu enggan menarik balik pemberian lesen berkenaan meskipun dibantah semua ahli majlis Sepang dalam mesyuarat penuh MPS pada 28 Mei lepas.
Penduduk beberapa kampung di sekitar Sepang sebelum ini membantah operasi kilang itu, yang dikendalikan oleh sebuah syarikat dari China yang memproses sisa plastik dari luar negara, dengan mendakwa mereka terdedah dengan pelbagai jenis penyakit dan ancaman kerosakan alam sekitar.
Pengerusi Gabungan Persatuan Cina dan Pertubuhan Rumah Berhala Kawasan Sungai Pelek dan Sepang, Joshua Tee dilapor berkata, operasi kilang itu telah diberhentikan pada bulan Mac lepas namun kembali beroperasi selepas itu setelah dipercayai memperoleh permit sementara selama enam bulan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!