Trump tarik balik arahan serang Iran

Trump
Trump
A
A
A

WASHINGTON - Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump sememangnya dikenali sebagai seorang pemimpin yang berpendirian flip-flop atau tidak tetap pendirian sejak beliau memegang jawatan di Rumah Putih pada 2016.

The New York Times melaporkan Trump pada mulanya meluluskan serangan ke atas Iran sebelum dinihari pada hari ini, namun menarik balik langkah itu secara tiba-tiba pada malam semalam.

Akhbar itu yang memetik kenyataan pegawai tentera dan diplomatik melaporkan jutawan hartanah tersebut memberi lampu hijau kepada tentera untuk menyasarkan radar dan bateri misil milik Teheran sebagai respons terhadap insiden dron 'pengintip' mereka, RQ-4 Global Hawk ditembak jatuh di ruang udara negara terbabit.

"Operasi itu sedang dijalankan pada peringkat awal apabila ia dibatalkan secara tiba-tiba. Pesawat sudah berlepas dan kapal berada di kedudukan masing-masing. Tetapi, tiada misil dilancarkan selepas arahan stand down dikeluarkan," lapor The New York Times itu lagi.

Keputusan itu dibuat selepas perbincangan dan perdebatan sengit antara pegawai keselamatan kanan presiden dan pemimpin Kongres di Bilik Situasi di Rumah Putih.

Penasihat keselamatan negara Trump dilaporkan gagal mencapai kata putus sama ada mahu melancarkan serangan balas ketenteraan ke Teheran atau tidak.

Pegawai kanan pentadbiran Rumah Putih mendedahkan Setiausaha Negara, Mike Pompeo dan Pengarah Agensi Perisikan Pusat (CIA), Gina Haspel bersetuju dengan operasi tentera.

"Tetapi, pegawai Pentagon bimbang tindakan terburu-buru seperti itu boleh meningkatkan lagi ketegangan yang akan memberi risiko kepada pasukan tentera AS di rantau terbabit," jelas laporan itu lagi.

Artikel Berkaitan:

Speaker Nancy Pelosi menggambarkan ia sebagai situasi yang sangat berbahaya.

Terdahulu, Trump menerusi Twitter menyuarakan kemarahan beliau terhadap Teheran dan turut sekali lagi melancarkan perang retorik ke atas negara tersebut.

"Iran melakukan kesilapan sangat besar! Jika anda mahu tahu kebenarannya, sukar untuk percaya tindakan mereka adalah disengajakan. Ia pasti dilakukan oleh orang yang bodoh," katanya. Menerusi Twitter, Trump juga tidak menuduh mana-mana pemimpin Teheran secara melulu sebaliknya mendakwa seorang individu bertanggungjawab ke atas kejadian tersebut. Mesej tersebut turut mencetuskan tanda tanya tentang keputusan Washington untuk langkah seterusnya.

"Anda akan tahu nanti," jawab Trump apabila ditanya tentang kemungkinan serangan balas. Dalam satu kenyataan balas, Menteri Luar Iran, Mohammad Javad Zarif menegaskan mereka tidak mahu peperangan.

"Apa yang kami lakukan adalah untuk mempertahankan ruang udara, darat dan laut wilayah ini," katanya.

Koordinat GPS yang dikeluarkan Iran menunjukkan dron tersebut berada pada kedudukan 12 kilometer di luar pantai negara itu dan berada dalam jarak 22 kilometer dari pantai perairan Teheran.

Sebelum ini, Trump hanya berani melancarkan perang retorik ke atas Iran untuk mengelakkan krisis ketenteraan yang serius di Asia Barat.

Trump punca konflik

Trump sebenarnya punca di sebalik kesemua konflik yang sedang meningkat di rantau Timur Tengah.

Ia bermula dengan tindakannya menarik diri daripada Perjanjian Pelan Tindakan Komprehensif Bersama (JCPOA) yang dimeterai bersama Iran pada 2015.

Krisis itu menjadi semakin meruncing apabila Washington mengenakan sekatan ekonomi ke atas Iran dan cuba menyekat akses kepada perdagangan antarabangsa termasuk jualan minyak.

Awal bulan lalu, kerajaan AS melakukan tindakan provokasi dengan menghantar kapal mengangkut pesawat penggempur dan jet pengebom B-52 serta 1,500 anggota tentera ke Timur Tengah kononnya sebagai 'mesej jelas' kepada Teheran.

Iran bagaimanapun berulang kali menyatakan mereka tidak mahu terlibat dalam peperangan, namun sentiasa bersiap siaga terhadap sebarang kemungkinan.

Keupayaan Teheran menyasarkan dan memusnahkan dron altitud tinggi milik AS yang dibangunkan untuk mengelakkan sebarang misil ternyata mengejutkan Pentagon.

Mereka sedikit goyah melihat 'kehebatan' Iran yang mungkin tidak berasa tergugat langsung dengan AS walaupun ia mengerahkan pasukan tentera tambahan dan meningkatkan pengawasan di rantau terbabit. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!