Pulang semula wang 1MDB secara sukarela: Kor Ming
TELUK INTAN - Kesemua 41 responden yang tersenarai dalam permohonan lucut harta yang difailkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) disarankan untuk kembalikan wang berjumlah RM270 juta itu secara sukerela.
Timbalan Setiausaha Agung DAP, Nga Kor Ming berkata, inisiatif entiti dan individu yang dikaitkan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) untuk memulangkan semula 'wang rakyat' itu dilihat dapat menjimatkan masa mahkamah.
"Daripada jumlah itu, RM212 juta diterima oleh Badan Perhubungan UMNO Bahagian Pekan, UMNO Pahang dan beberapa negeri lain selain MCA Pahang, Wanita MCA. Jadi, saya menggesa mereka kononnya menerima duit ini dari Najib (Datuk Seri Najib Tun Razak) untuk kembalikannya.
"Bayar balik duit rakyat ini secara sukarela. Jangan membazir masa mahkamah lagi dan jangan lagi bersikap degil. Sekurang-kurangnya tindakan mereka (pulangkan wang) itu mempunyai sedikit usaha murni untuk menebus dosa yang dilakukan," katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Teluk Intan ditemui pada majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri di Dewan Bandaran Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) di sini hari ini.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya itu mengumumkan senarai 41 responden yang terlibat dan sudah membuat permohonan lucut harta mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.
Wang yang diterima responden itu datang daripada akaun bekas Perdana Menteri itu dan jumlah permohonan lucut harta bernilai RM270 juta itu adalah jumlah terbesar dalam sejarah bagi kes pengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan (AMLA) di negara ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!