Pertimbangkan MyKad untuk masyarakat Siam

Pim (kiri) menyerahkan memorandum kepada Raja Mohan sambil diperhatikan oleh Norwahidah pada Majlis Dialog dan Ramah Mesra Bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator P Waytha Moorthy di Wat Cheng Buddhavas di Kampung Terbak, Tumpat hari ini.
Pim (kiri) menyerahkan memorandum kepada Raja Mohan sambil diperhatikan oleh Norwahidah pada Majlis Dialog dan Ramah Mesra Bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator P Waytha Moorthy di Wat Cheng Buddhavas di Kampung Terbak, Tumpat hari ini.
A
A
A

TUMPAT - Kerajaan diminta mempertimbangkan isu kad pengenalan merah dalam kalangan masyarakat Siam yang lahir sebelum merdeka tetapi belum mendapat taraf warganegara.

Ahli Dewan Negara, Senator Aknan Ehtook berkata, isu pemastautin tetap ini perlu dipermudahkan memandangkan masih ramai warga emas Siam di empat negeri iaitu Kelantan, Kedah, Perlis dan Perak belum memiliki kad biru (MyKad).

"Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ada mengumumkan rakyat berketurunan India yang berumur 60 tahun ke atas dan memenuhi syarat akan diberi MyKad pada tahun ini.

"Jadi saya mewakili masyarakat Siam memohon agar masyarakat Siam juga diberi pertimbangan yang sama termasuk rakan kami dari kaum Cina," katanya ditemui pada Majlis Dialog dan Ramah Mesra Bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator P Waytha Moorthy di Wat Cheng Buddhavas di Kampung Terbak di sini hari ini.

Bagaimana pun Waytha Moorthy tidak dapat hadir disebabkan masalah kesihatan dan dialog itu diteruskan apabila beliau diganti dengan Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Kelantan, Norwahidah Zinalibdin.

Hadir sama, Pengerusi Persatuan Siam Kelantan, Profesor Madya Pim Chau Dam, Pegawai Tugas-tugas Khas Senator P. Waytha Moorthy, Raja Mohan Semban dan Ketua Amanah Tumpat, Wan Mohd Johari Wan Omar.

Aknan berkata, walau pun negara telah menyambut kemerdekaan sejak 62 tahun lalu tetapi masih ada lagi masyarakat Siam yang lahir sebelum merdeka terpinggir dan belum mendapat taraf warganegara.

"Saya telah perjuangkan isu ini sudah lama, harap perkara ini dipermudahkan, saya khuatir mereka mati dengan kad pengenalan merah," katanya yang turut berdialog dalam majlis tersebut.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Pim berkata, isu kad pengenalan merah antara memorandum yang akan diserahkan kepada Waytha.

Katanya, selain itu turut dibangkitkan tentang isu meminta kerajaan mewujudkan saluran pentadbiran secara khusus untuk masyarakat Siam iaitu Unit Khas Hal Ehwal Orang Siam di bawah Jabatan Perdana Menteri.

"Wujudkan Unit Khas Hal Ehwal Orang Siam di bawah Jabatan Perdana Menteri atau mana-mana kementerian yang difikirkan sesuai.

"Kita tidak ada saluran politik khusus untuk mendapat perhatian yang sewajarnya secara langsung daripada kerajaan sebelum ini dan berharap ia tidak berlaku pula dengan kerajaan hari ini," katanya.

Selain itu Pim turut membangkitkan isu bantuan kewangan untuk pembangunan dan pembelajaran bahasa Thailand, kesenian dan kebudayaan masyarakat Siam yang perlu diberi suntikan nafas baharu.

"Selain itu perlantikan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung dari masyarakat Siam hanya ada lima orang sahaja di Kelantan sedangkan sebelum ini terdapat 10 orang.

"Jadi kami mahu perkara ini turut mendapat perhatian kerajaan agar kami ada wakil di peringkat kampung," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!