Syafinaz keluar duit bantu anak didik
BIARPUN program Mentor musim ketujuh sudah melabuhkan tirainya hampir enam bulan lalu, namun Datuk Syafinaz Selamat tidak pernah melupakan dua protegenya iaitu Ranisha atau nama sebenarnya Farranisha Shazwany Mohd Faizul, 19, dan Lazarul atau nama penuhnya Lazarul Afiezy Zakaria, 28.
Malah demi memastikan kedua-dua anak didiknya itu tidak terus hilang daripada radar industri seni, wanita berusia 45 tahun ini tidak berkira untuk melaburkan duit sendiri bagi mengeluarkan sebuah lagu raya bersama.
Cerita pensyarah vokal Jabatan Muzik Fakulti Seni Persembahan di UiTM Shah Alam dan Akademi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan (Aswara) itu, beliau menganggap dirinya sebagai individu yang bertanggungjawab membawa dua bintang baharu itu ke industri seni menerusi pentas Mentor 7.
“Walaupun program tersebut sudah berakhir, saya rasa kejam kalau saya hanya membiarkan mereka terkapai-kapai sendirian.
“Apatah lagi, saya yang membawa mereka ke dunia nyanyian menerusi program berkenaan, jadi saya kira menjadi tanggungjawab saya juga untuk membantu mereka.
“Saya akui, mereka kelihatan agak sepi selepas Mentor 7, jadi saya terfikir untuk mencari jalan membantu mereka. Malah saya rasa sayang sekiranya bakat mereka itu dipersiakan sebegitu sahaja.
“Saya percaya belum ada mentor yang mengeluarkan duit untuk merakamkan lagu buat anak didiknya tetapi saya pula berfikiran sebaliknya. Ini adalah sumbangan saya untuk generasi baharu,” katanya.
Bercerita lanjut mengenai kolaborasi mereka bertiga, Syafinaz berkata, dia sudah lama menyimpan hajat untuk merakamkan lagu raya.
Bagaimanapun keinginan itu merakamkan lagu raya itu semakin mendalam sebaik terjaga daripada tidur, seminggu sebelum Ramadan lalu.
“Saya tak berlengah dan terus menghubungi Lazarul dan Ranisha untuk berkongsi berita baik ini.
“Malah saya seronok bekerjasama dengan dua anak didik saya kerana mereka faham mengenai gaya penulisan muzik.
"Bayangkan dengan hanya menghantar pesanan suara meminta untuk mengadakan latihan sendiri, mereka sudah tahu untuk buat apa dan selepas itu baharulah kami memasuki studio rakaman,” jelasnya.
Tambah Syafinaz, mereka tampil dengan lagu raya berjudul RahmatNya ciptaan Ku Sham dan lirik oleh Zaira yang dilancarkan baru-baru ini.
Bukan itu sahaja, lagu berkenaan merupakan langkah permulaan buat dirinya kembali aktif sebagai penyanyi semula selepas ini.
“Kalau ikutkan saya sudah lama berjanji dengan peminat untuk tampil dengan lagu baharu dan saya sendiri sudah 10 tahun tidak merakamkan single baharu.
“Saya anggap lagu RahmatNya adalah permulaan untuk saya kembali aktif dan juga bukti bahawa saya masih lagi ada dalam industri ini.
“Insya-ALLAH, saya akan muncul dengan single baharu berjudul Persis Salju juga ciptaan Ku Sham dan lirik oleh Zaira tidak lama lagi.
“Kalau ada rezeki saya mengimpikan untuk muncul dengan album baharu, selewatnya tahun depan,” jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!