Malaysia kekal pendirian dasar walau kerajaan berubah, kata PM
BANGKOK – Malaysia mengekalkan dasar perdagangan dan ekonominya selain mesra dengan negara lain, walaupun berlaku perubahan kerajaan selepas 61 tahun, kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini.
Kerajaan baharu Malaysia, katanya, menyambut baik pelabur asing termasuk dari jiran terdekatnya, Thailand, dan berusaha menyelaraskan peraturan, kawal aturan serta undang-undang bagi memudahkan lebih banyak pelaburan masuk.
“Kami mesra perniagaan. Oleh itu jika orang datang untuk melabur di Malaysia, kerajaan akan cuba membantu sebaik mungkin. Kami menyelaraskan semua peraturan, kawal aturan bagi memudahkan pelaburan dari negara asing.
“Kami berharap lebih banyak syarikat Thailand melabur di Malaysia dan kami juga mahu melihat lebih banyak syarikat Malaysia melabur di Thailand. Ini akan menyediakan pertumbuhan yang baik untuk kedua-dua Malaysia dan Thailand. Kami beharap semua usaha ini akan memudahkan perdagangan dua hala,” katanya dalam ucaptama pada sesi dialog bersama tokoh korporat Thai di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ignatius Darrell Leiking dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali serta Duta Besar Malaysia ke Thailand, Datuk Jojie Samuel.
Mengetuai pelabur Thai ialah Pengerusi Jawatankuasa Tetap Bersama bagi Perdagangan, Industri dan Perbankan Thailand, Kalin Sarasin.
Sementara itu, Dr Mahathir berkata, ASEAN yang didiami 600 juta penduduk merupakan pasaran besar untuk perdagangan, dan semua negara anggota wajar meneroka potensi ini dan memperkaya penduduk.
“Mungkin perndapatan perkapita rendah, keperluan untuk golongan miskin sangat besar. Namun menerusi perdagangan dan perniagaan yang berkembang, ia akan mempekaya rakyat dan kita akan memperoleh pasaran yang baik sesama kita,” katanya.
Merujuk Thailand sebagai jiran paling rapat, Dr Mahathir mengalu-alukan syarikat dan pelabur Thai menjalankan perniagaan di Malaysia berdasarkan komunikasi yang mudah selain mudah untuk mengenali sesama sendiri.
“Bila kita menjalankan perniagaan, kita mahu beniaga dengan orang yang kita kenal. Jika orang yang tidak dikenali, kita tidak pasti apa yang akan berlaku.
“Ada peluang untuk Malaysia dan Thailand belajar semasa sendiri, dan mesyuarat seperti itu sangat penting,” katanya.
Hubungan dua hala antara kedua-dua negara berjiran itu menurut pemimpin berusia 94 tahun itu, sudah lama terjalin, dengan Malaysia memperoleh manfaat daripada kerjasama kukuh dan tulen.
“Malaysia mahu meningkatkan dagangan dua hala dengan Thailand. Kita perlu mengenal pasti produk yang kita boleh peroleh antara satu sama lain bagi meningkatkan jumlah dagangan.
“Pada masa ini, saya jangka pelaburan Malaysia lebih banyak di Thailand berbanding Thailand (pelaburan di Malaysia). Namun produktiviti dan kemahiran anda baik. Oleh itu ada peluang untuk lebih banyak pelaburan Thai di Malaysia dan kita akan mencapai pertumbuhan yang baik di kedua-dua negara,” katanya.
Sementara itu, Dr Mahathir berkata, operasi 24 jam di Kompleks Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam dan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Sadao akan membantu meningkatkan perdagangan rentas sempadan antara kedua-dua negara.
“Menerusi jalan raya dan kemudahan kereta api yang baik, selain komunikasi, kita akan dapat meningkatkan prestasi perdagangan rentas sempadan,” katanya.
Pada Rabu, Timbalan Mentei Luar Datuk Marzuki Yahya melancarkan operasi 24 di ICQS Bukit Kayu Hitam dan CIQ Sadao, yang sebelum ini beroperasi dari 6 pagi hingga tengah malam. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!