Saran elaun bulanan kepada sasterawan tamu

Menteri Pendidikan Malaysia, Dr Maszlee Malik melancarkan Terbitan Digital DBP pada perasmian ulang tahun Dewan Bahasa dan Pustaka yang ke-63 di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP. - FOTO ROSLI TALIB
Menteri Pendidikan Malaysia, Dr Maszlee Malik melancarkan Terbitan Digital DBP pada perasmian ulang tahun Dewan Bahasa dan Pustaka yang ke-63 di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP. - FOTO ROSLI TALIB
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik menyarankan universiti-universiti awam yang mengambil Sasterawan Negara sebagai sasterawan tamu untuk memberikan elaun bulanan kepada mereka.

Katanya, beliau gembira dengan pendekatan universiti mengambil dan menghargai karya-karya mereka tetapi ia belum mencukupi.

"Kita perlu menjaga kebajikan mereka dengan memberikan elaun bulanan," katanya ketika berucap merasmikan Majlis Sambutan Ulang Tahun Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ke-63 hari ini.

Menurutnya, Kementerian Pendidikan juga sedang mengambil pendekatan sebagai perantara untuk mengadakan pertemuan antara Sasterawan-Sasterawan Negara dengan Kementerian Kewangan bagi tujuan pengiktirafan dalam bentuk insentif.

"Insya-ALLAH Kementerian Pendidikan akan menjadi tuan rumah menjadi perantara. Biar saya yang minta supaya perlunya pengiktirafan dalam bentuk insentif kerana mereka telah berjasa memartabatkan sastera dan bahasa negara kita.

"Kalau di negara lain Sasterawan Negara mereka begitu dijulang. Saya akan perjuangkan hak Sasterawan Negara selagi mana saya berada di Kementerian Pendidikan," katanya.

Mengulas lanjut, Maszlee berkata, DBP perlu melakukan penjenamaan semula bagi memastikan ia kekal diiktiraf sebagai sebagai satu-satunya badan pengawal dalam segala hal ehwal yang berkaitan dengan penggunaan bahasa kebangsaan.

"Ia termasuklah bagi semua urusan rasmi, dokumen rasmi dan penerbitan yang dilakukan oleh semua kementerian, agensi kerajaan, separa kerajaan, badan berkanun seluruh negara.

Artikel Berkaitan:

"Kewibawaan DBP terutama berkaitan dengan pembudayaan kebangsaan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di negara ini juga terus diperkukuhkan. Atas dasar ini penjenamaan semula DBP adalah mustahak dan perlu dijelmakan segera selaras dengan sejarah baharu Malaysia yang tercipta sejak 2018," katanya.

Jelasnya, menjadi kewajipan DBP untuk berubah dalam suasana Malaysia baharu.

"Saya yakin di bawah pimpinan hari ini, DBP akan melakukan penjenamaan baharu ini dalam masa terdekat," katanya.

Tambahnya, kakitangan DBP dari peringkat atasan dan bawahan di seluruh negara perlu melalui perubahan mindan dan roh perjuangan.

"Kita tidak boleh lagi melihat kewujudan di DBP sebagai pekerja semata-mata sebaliknya merasakan diri sebagai wira-wira perjuang nusa dan watan memastikan bahasa Melayu serta citra kemelayuan tetap utuh sepanjang zaman," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!