Kerajaan perlu ada pelan khusus didik orang asli

Rusdi Omar
Rusdi Omar
A
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan Persekutuan perlu merancang satu pelan khusus untuk mendidik masyarakat orang asli mengenai cara menjaga kebersihan sebagaimana kerajaan mendidik masyarakat di bandar.

Penganalisis Politik, Prof Madya Dr Rusdi Omar berkata, sepatutnya kerajaan Pusat dan negeri perlu menjaga kaum tersebut sama seperti kerajaan menjaga rakyat lain tanpa sebarang diskriminasi dalaman.

“Semua kemudahan asas sepatutnya mereka perolehi sama macam rakyat lain di bandar. Kerajaan Pusat dan negeri kena bantu mereka. Mungkin perlu disediakan sekolah khas untuk memberi pendidikan pada mereka.

“Pendidikan mengenai penjagaan kebersihan, pemakanan, kehidupan harian, termasuklah mengajar agama kepada mereka yang beragama Islam.

“Jika kita tidak memulakan langkah, payah untuk mereka ikuti. Walaupun hanya dua atau tiga jam seminggu, namun jika ia benar-benar dilaksanakan, saya rasa banyak masalah boleh dibendung,” katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.

Menurutnya, masyarakat orang asli mempunyai pegangan yang kuat pada adat dan budaya mereka, namun tidak salah rasanya jika kita membawa budaya realiti masyarakat biasa kepada mereka untuk diadaptasi dengan baik.

Beliau berkata, selain itu, kawasan rayau mereka perlulah dijaga supaya ada semua kemudahan asas terutamanya air yang bersih, bukan menggunakan air bukit dan sebagainya.

“Jika pun kerajaan mahu menggunakan kawasan kediaman mereka untuk tujuan pembangunan dan sebagainya, maka gantikanlah tempat mereka itu sebaik mungkin.

Artikel Berkaitan:

“Kerajaan tidak boleh lupa peranan mereka pada rakyat marhaen seperti ini. Itu sebabnya kita jangan ‘double standard’ dalam sebarang tindakan yang dilakukan.

“Ada pendapat mengatakan ada sesetengah kaum orang asli ini amat payah untuk menerima transformasi, namun tidak perlu memujuk atau memaksa.

“Tapi dengar apa yang mereka mahukan, supaya kita boleh selarikan dengan apa yang kita mahu mereka lakukan. Kerajaan kena buat secara tersusun dan sistematik kediaman mereka dengan semua kemudahan asas yang sempurna,” katanya.

Rusdi memberitahu, kerjasama kerajaan negeri dan Pusat amat diperlukan untuk menyelesaikan masalah orang asli ini dan jangan sesekali memandang rendah kepada kaum itu.

“Bantulah mereka sebaik mungkin. Insya-ALLAH ada penyelesaian yang tuntas sekiranya semua pihak memainkan peranan mereka," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!