Boleh fokus dalam kelas

Lee Lam Thye bersama murid yang menerima sumbangan cermin mata di SK Bukit Kapar semalam.
Lee Lam Thye bersama murid yang menerima sumbangan cermin mata di SK Bukit Kapar semalam.
A
A
A

KLANG – Tiada yang lebih menggembirakan buat murid Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Kapar apabila dipilih menerima cermin mata percuma daripada Yayasan Eco World.

Kedua-dua murid Darjah Lima itu mengalami masalah rabun namun keluarga tidak mampu menyediakan kemudahan itu kerana masalah kewangan.

Nurul Atikah Kasmani berkata, dia tidak dapat memberi perhatian dalam kelas kerana rabun sejak Darjah Empat dan terpaksa bertanya rakan jika guru menulis di papan hitam.

Menurutnya ibunya pernah membawanya membuat pemeriksaan mata tetapi perlu menunggu wang mencukupi untuk membeli cermin mata.

“Tapi saya gembira apabila cikgu beritahu saya terpilih terima bantuan. Lepas ni boleh fokus dalam kelas dan tak perlu lagi tanya,” katanya.

Rakannya, Sarah Aprilia Mohd Kahmim pula berjanji memanfaatkan cermin mata sebaiknya.

Katanya, dia sudah lama mengimpikan untuk memiliki cermin mata namun hasrat tersebut terpaksa di dilupakan kerana masalah kewangan keluarga.

“Saya ada masalah rabun sejak Darjah Tiga tetapi tidak dapat menggunakan cermin mata kerana ayah tidak mampu. Jumlah gaji ayah juga tidak menentu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Nurul Atikah dan Nur Syahira antara 161 murid kurang berkemampuan dari sekolah sekitar Klang dan Kuala Selangor yang menerima kemudahan itu.

Sementara itu, Pengerusi Yayasan Eco World, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, sebanyak RM20,000 diperuntukkan termasuk kos pemeriksaan mata membabitkan 3,811 murid di lima sekolah terlibat.

Menurutnya, yayasan berkenaan mahu mewujudkan kesedaran mengenai kepentingan menjaga penglihatan yang bermula sejak kecil bagi mengelakkan masalah penglihatan terhad atau buta.

“Keperluan cermin mata kadang-kadang diabaikan kerana masalah kewangan dan ini amat menyedihkan. Jadi kami membantu membekalkan cermin mata percuma kepada murid yang memerlukan bagi membolehkan mereka fokus ketika belajar,” katanya.

Program yang diadakan di SK Bukit Kapar itu turut dihadiri Guru Besar SK Bukit Kapar, Mohd Zohri Saluki, Ketua Yayasan Hospital Mata Nasional Tun Hussein Onn, T Jayakrishna dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Ecoworld Berhad, Kapten (B) Datuk Liew Siong Sing.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!