Kunyit kotorkan politik kita
SEMINGGU telah berlalu sejak pendedahan berani dan terbongkarnya video seks luar tabii yang didakwa melibatkan seorang menteri kanan.
Semua pihak daripada pemimpin tertinggi parti sehingga macai-macai politik bawahan – siang-malam sibuk bercakap dan menkontroversikan isu berkenaan.
Baik dalam media perdana, media sosial, kedai kopi, hatta di serambi masjid dan surau, orang tidak habis-habis bercakap mengenai video ‘kunyit’ ini.
Ada macam-macam teori. Ada yang kata ini satu konspirasi politik. Ada yang mendesak mereka yang terlibat dalam dunia kunyit meletak jawatan. Ada yang mempertahankan. Ada yang telah kena pecat.
Malah ada teori bahawa banyak lagi siri kunyit-kunyitan akan dibongkar sedikit masa lagi melibatkan ramai lagi geng-geng kunyit. Dulu, kini dan selamanya politik kita menang telah dikunyit-kunyitkan!
PERIHAL video yang viral itu, banyak aduan telah dibuat, polis terus menyiasat, sementara orang politik tidak kira parti tidak habis-habis mempolitikkan isu kunyit ini.
Cukup-cukuplah! Kepada orang politik, khasnya pemimpin, kita ada banyak masalah yang lebih besar dan mendesak di hadapan mata.
Ekonomi meleset, sana-sini orang kena buang kerja, harga barang naik, graduan menganggur, pasaran saham terus menjunam, nilai RM makin ciput, macam-macam.
Kalau 24 jam masa hanya ditumpukan untuk menangani isu kunyit, bila masa dan usaha hendak difokuskan untuk selesaikan masalah rakyat?
Rakyat mengeluh sebab barang keperluan harian – cili, bawang, tomato, halia dan lain-lain – terus naik. Pemimpin asyik bercakap dan bertelagah mengenai kunyit!
WALAUPUN tidak disebut secara terus terang, perihal kunyit disebut juga secara tidak langsung dalam Muktamar Pas di Kuantan.
Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang ketika berucap sempat menyindir mengenai isu kunyit. Katanya, parti itu tidak akan teragak-agak memecat mana-mana pemimpin jika melakukan perbuatan tidak bermoral.
Kata Hadi seperti yang disiarkan media: “Moral adalah teras penting yang perlu terus dipertahankan oleh pimpinan Pas.”
Pasti pemimpin PAS itu arif bahawa bukan dalam hal kunyit sahaja moral boleh dikaitkan. Banyak benda-benda lain juga boleh dikaitkan dengan moral seperti salah guna kuasa, dedak dan sebagainya.
Hatta bohong sunat pun boleh dikaitkan dengan moral.
SELAIN kunyit, tembakau pun telah terbukti sebagai satu ketagihan yang memudaratkan dan amat tinggi harganya.
Seperti kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, kerajaan bakal menanggung kos rawatan penyakit utama akibat merokok berjumlah RM7.4 bilion menjelang 2025.
Menurut beliau, jumlah itu berdasarkan unjuran kementerian melibatkan penyakit utama seperti kanser paru-paru, paru-paru kronik dan masalah jantung koronari.
Menteri itu menegaskan, cara untuk mengelakkan kos yang tinggi ini adalah dengan menguatkuasakan kawalan tembakau di negara ini.
Betulkah begitu? Apakah kita serius untuk mengawal tembakau?
SEPANJANG yang berkaitan penguatkuasaan kawalan tembakau atau rokok, kita ternyata tidak serius. Kita hanya lebih acah-acah!
Contoh: larangan merokok di restoran dan tempat makan awam yang bermula sejak 1 Januari lalu sampai kini masih tidak dapat dikuatkuasakan sepenuhnya.
Seperti diumumkan menteri, larangan tersebut akan dibuat percubaan selama enam bulan dan akan dikuatkuasakan sepenuhnya pada bulan Jun dan mereka yang tidak mematuhinya akan didenda sehingga RM10,000 atau penjara tiga tahun.
Entah mengapa tiba-tiba kerajaan melanjutkan tempoh penguatkuasaan larangan tersebut hingga akhir tahun ini. Sikap lok-lak seperti inilah yang menyebabkan kita selalu gagal dalam kempen anti-rokok.
Kita hanya banyak cakap, tetapi tidak tegas!
AKHIR kalam, orang kita rela mati di jalan raya daripada di medan jihad. Bukti: jumlah kemalangan dalam Ops Selamat sempena raya 2019, terus meningkat.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor berkata, sebanyak 24,461 kes kemalangan dilaporkan sepanjang tempoh 12 hari operasi terbabit dijalankan, meningkat 9.1 peratus.
Jumlah kematian pun meningkat tahun ini iaitu 249 kes berbanding tahun lalu 248 kes.
Saman yang dikeluarkan atas pelbagai dalam Op Selamat kali ini mencatatkan peningkatan iaitu sebanyak 350,537 berbanding 343,863 saman pada tahun lalu.
Pendek kata ada Ops Selamat pun jalan raya tetap tidak selamat...Kerajaan bakal menanggung kos rawatan penyakit utama akibat merokok berjumlah RM7.4 bilion menjelang 2025."
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!