Pesanan untuk jurujual

A
A
A

LAIN kali follow-up. Jangan biar pelanggan tunggu macam itu sahaja,” kata seorang kawan saya yang marah ketika kami sedang bersarapan bersama-sama. Sebenarnya ketika itu, kawan saya sedang bercerita tentang rancangan hendak membeli kereta baharu.

Pada mulanya kawan saya itu bercadang hendak membeli kereta Perodua ARUZ. Anak-anak dah semakin besar. Kereta lama tak berapa selesa kalau nak muat ramai-ramai. Itu yang dia bercadang hendak membeli kereta besar sedikit kata kawan saya pula.

“Lagipun nak balik kampung lebih selesa juga. Mulanya ingat nak beli MPV. Tapi aku ada baca artikel dalam internet. Kata artikel itu, kalau nak kereta besar sebab nak balik kampung sahaja tak payahlah. Lagipun balik kampung bukan selalu. Yang penting semasa jalan dekat-dekat pun nak selesa juga. Setelah habis berfikir, itu yang aku ambil SUV sahaja,” beritahu kawan saya.

Tempoh

Kata kawan saya lagi: “Aku pergi ke bilik pameran Perodua baru-baru ni. Berkenan juga dengan ARUZ. Lepas pandu uji, tanpa fikir panjang, aku pun terus tempah sahaja. Jurujual itu kata nanti dia telefon bila pinjaman dah lulus.”

“Beberapa hari lepas tu, jurujual tu telefon pula. Katanya pinjaman sudah lulus. Dia suruh aku datang hari Sabtu untuk tandatangan perjanjian. Aku pun seronok sungguh. Tak sabar nak dapat kereta baharu.”

“Kena bayar muka tak?" tanya saya.

“Ya, bayar muka 10 peratus. Bulan-bulan dalam RM800 lebih sahaja. Tapi aku boleh bayar. Sebab kereta lama pun dah habis bayar,” kata kawan saya sambil tersengih-sengih.

Artikel Berkaitan:

“Seronokla nak dapat kereta baharu,” kata saya pula.

“Aha, itulah mesti seronok. Tapi kau tahu tak, sehari sebelum nak tandatangan perjanjian, jurujual telefon beritahu, orang bank tak dapat datang hari Sabtu kerana ada hal pula.”

“Lepas tu kau cakap apa?’’

“Jurujual tu minta datang hari Isnin. Aku kata tak boleh, aku ada hal juga dan akan beritahu semula. Aku rasa terkilan juga,” rungut kawan saya pula.

Kemudian kata kawan saya lagi: “Esok tu, Sabtu aku terus ke bilik pameran Honda. Sampai sahaja aku terus pandu uji.”

“Honda apa?’’ tanya saya.

“BRV. Memang sedap naik Honda BRV. Tapi harganya pun boleh tahan juga,” kata kawan saya lagi.

“Lepas pandu uji walaupun hati dah berkenan, aku tahan sabar sahaja. Lagipun aku dah jadi nak beli ARUZ. Tapi kau tahu, jurujual ARUZ tak ada pula telefon aku. Aku senyap, dia pun senyap juga. Jurujual Honda yang hantar mesej kat aku tak berhenti-henti

. Promosi ini, promosi itu. Aku fikir punya fikir, terus buat keputusan beli Honda sahaja. Aku beritahu jurujual Honda jadi ambil BRV dan pinjaman aku dah lulus sebenarnya. Tunggu nak tandatangan perjanjian sahaja untuk kereta ARUZ.

Jurujual Honda tu kata, lagi senang kerjanya. Dia suruh aku buat surat tukar kereta sahaja. Kau tahu tak, jurujual tu yang tolong buatkan. Kemudian siap datang rumah aku untuk ambil tandatangan. Dapat surat perjanjian pun dia bawa orang bank datang rumah untuk ambil tandatangan. Ini baru perkhidmatan terbaik,” kata kawan saya lagi kembang kempis hidungnya.

“Oh jadi, dah tetap ambil BRV ya?” tanya saya.

“Ya lah. Buat apa tunggu ARUZ lagi. Jurujual dia pun senyap sahaja,” kata kawan saya lagi.

“Ada beritahu jurujual ARUZ tak, nak batalkan tempahan,” tanya saya lagi.

“Ada beritahu,” kata kawan saya.

“Jurujual tu cakap apa?” tanya saya.

“OK,” beritahu kawan saya.

“OK sahaja katanya?” tanya saya.

“Ya,” jawab kawan saya.

Saya terus menepuk dahi. Mungkin sudah tertulis itu bukan rezeki dia. Walau bagaimanapun, bolehlah diambil iktibar juga, bak kata orang-orang tua dahulu kala menggunakan peribahasa lama, ‘isi dada bekal berjalan’ yang membawa maksud bila ada ilmu ke mana pergi mudah mendapat rezeki.

Maksud ilmu di sini, carilah ilmu menjual. Menjual bukan hanya memberitahu sahaja produk ini begitu begini. Tetapi hendaklah disusuli dengan tindakan memudahkan pelanggan pula.

Kepada jurujual tersebut, mengambil simpulan bahasa orang-orang tua dahulu kala lagi, hendaklah sentiasa ringan mulut bertanya.

Untuk zaman moden ini pula, mungkin sudah tidak sesuai lagi menggunakan simpulan bahasa tersebut, maka bolehlah kita gunakan simpulan bahasa, ringan jari pula.

* Faisal Muhammad ialah jurutera kanan di sebuah sayrikat lebuh raya dan amat meminati penulisan kreatif. Untuk bertanya khabar, e-mel beliau: mrfaisalmuhammad@gmail.com

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!