Remaja OKU terselamat, rumah flat terbakar
CAMERON HIGHLANDS - Seorang remaja orang kurang upaya (OKU) terselamat dalam kebakaran rumah flat di Taman Puncak dekat Tringkap di sini awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.44 pagi itu,remaja berusia 13 tahun itu diselamatkan oleh Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Tringkap dan dihantar ke hospital untuk rawatan selanjutnya.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri,Anuar Hassan berkata,selain remaja itu,seorang lagi mangsa iaitu lelaki dewasa melecur di bahagian tangan ketika cuba memadamkan kebakaran tersebut yang berlaku di Tingkat 4 di Blok G.
Menurutnya,lelaki itu telah diberikan rawatan awal oleh pasukan EMRS bomba terbabit.
"Sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) terdiri seorang pegawai kanan dan 9 anggota bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan dengan dibantu 25 anggota PBS Tringkap.
"Api berjaya dipadamkan pada jam 4.44 pagi dan kemusnahan melibatkan 80 peratus," katanya dalam satu kenyataan.
Ujarnya,punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!