Kos makanan Pati hampir RM3.5 juta sebulan

Gambar Hiasan. Gambar kecil:Khairul Dzaimee Daud
Gambar Hiasan. Gambar kecil:Khairul Dzaimee Daud
A
A
A

SERDANG - Kerajaan membelanjakan hampir RM3.5 juta sebulan bagi menampung kos makanan pendatang asing tanpa izin (Pati) yang ditahan di 14 depot Jabatan Imigresen di seluruh negara, kata Ketua Pengarah Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud.

Beliau berkata purata kos makanan yang ditanggung kerajaan adalah sebanyak RM12 sehari untuk seorang dan kebanyakan mereka terpaksa berada di depot dalam tempoh sebulan hingga dua bulan sebelum dihantar pulang ke negara asal masing-masing.

“Kos perbelanjaan yang ditanggung kerajaan itu bagi memastikan hak asasi pendatang tanpa izin terpelihara dan perkara itu turut dilaksanakan di semua depot Imigresen di luar negara.

“Pengurangan kos makanan dapat diatasi sekiranya proses dokumen perjalanan yang disediakan pihak kedutaan berkaitan dapat dilaksanakan dengan cepat,” katanya kepada Bernama ketika ditemui pada Majlis Hari Raya Aidilfitri Kementerian Dalam Negeri.

“Beliau berkata jabatan itu menjalinkan kerjasama dengan pihak kedutaan untuk mempercepatkan proses mengeluarkan dokumen perjalanan untuk pendatang tanpa izin itu dihantar pulang dan perkara ini dapat mengurangkan bilangan penghuni di depot,” katanya.

Menurutnya, setakat 18 Jun, seramai 9,654 orang pendatang tanpa izin ditahan di 14 depot seluruh negara dengan 7,650 adalah lelaki dan1,664 wanita serta selebihnya kanak-kanak.

Beliau berkata tahanan Pati paling tinggi adalah rakyat Indonesia iaitu 3,767 orang diikuti Myanmar (2,105), Bangladesh (1,594), India (525), Vietnam (294), Pakistan (263), Thailand (226), Filipina (222), Nepal (193), Nigeria (150) dan lain-lain warganegara (315).

Khairul Dzaimee berkata sebanyak 8,277 operasi dilaksanakan Jabatan Imigresen sejak awal tahun ini hingga Selasa lepas dengan keseluruhannya 103,224 orang warga asing diperiksa.

Artikel Berkaitan:

“Empat depot iaitu di Bukit Jalil, Kuala Lumpur; Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Sepang; Lenggeng, Negeri Sembilan dan Juru, Pulau Pinang mengalami lebihan jumlah tahanan pendatang tanpa izin berbanding kapasiti depot yang direkodkan sehingga 18 Jun.

“Kami cuba mempercepatkan proses untuk menghantar mereka pulang ke negara masing-masing serta memindahkan mereka ke depot yang berdekatan bagi mengelak kesesakan,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!