Dua penunggang motosikal maut rempuh kerbau

Keadaan kerbau yang terbabit dalam kemalangan tersebut.
Keadaan kerbau yang terbabit dalam kemalangan tersebut.
A
A
A

JEMPOL - Dua penunggang motosikal maut selepas merempuh seekor kerbau yang tiba-tiba berada di laluan mereka di Jalan Utama Serting Hilir, di sini tengah malam tadi.

Mangsa, Muhammad Fakhri Fazim, 18, maut di lokasi selepas parah di kepala selain mengalami kecederaan dalaman manakala rakannya, Faqih Sarian Abdul Malik, 20, meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Jempol.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Muhd Nurhishamuddin Hashim berkata, dalam kejadian lebih kurang jam 12.35 malam itu, mangsa menunggang motosikal secara berasingan jenis Modenas Dinamik dan Yamaha 135LC.

"Siasatan awal dijalankan mendapati kawasan kemalangan di Jalan Utama Serting Hilir dan kawasan kemalangan gelap tanpa lampu jalan.

"Mangsa dari arah Serting Hilir menuju ke rumah masing-masing di Tembangau, Kemayan, Pahang. Tiba di tempat kejadian, motosikal yang ditunggang mereka bertembung seekor kerbau yang berada di tengah laluan mangsa.

"Akibat kemalangan, Muhammad Fakhri maut di tempat kejadian kerana kecederaan yang teruk di kepala manakala Faqih Sarian dikejarkan ke Hospital Jempol namun meninggal dunia semasa menerima rawatan," katanya ketika mengesahkan laporan hari ini.

Muhd Nurhishamuddin berkata, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Jempol bagi tujuan bedah siasat hari ini lebih kurang jam 9 pagi.

"Jenazah mangsa diserahkan kepada keluarganya yang beralamat di Felda Tembangau, Kemayan, Pahang selepas selesai proses bedah siasat," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!