Penguat kuasa MDHS nyaris maut ditanduk lembu

Seekor lembu bertindak agresif sebelum menanduk bahagian dada seorang anggota penguat kuasa ketika operasi dijalankan.
Seekor lembu bertindak agresif sebelum menanduk bahagian dada seorang anggota penguat kuasa ketika operasi dijalankan.
A
A
A

KUALA KUBU BHARU - Seorang penguat kuasa Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) nyaris maut ditanduk seekor lembu dalam operasi menangkap haiwan berkeliaran, awal pagi kelmarin.

Insiden kira-kira jam 1 pagi berlaku ketika anggota terbabit cuba menarik haiwan berkenaan yang diikat dengan tali keluar dari belukar untuk dinaikkan ke lori.

Lembu tersebut secara tiba-tiba meluru dan menanduk bahagian dada anggota berusia 24 tahun itu sebelum mangsa berjaya diselamatkan rakan sekerja lain.

Setiausaha MDHS, Awaluddin Zakaria berkata, operasi penangkapan dijalankan berikutan aduan orang awam mengenai kewujudan sekumpulan lembu berkeliaran di jalan raya di kawasan Perindustrian Zurah, Rasa.

Menurutnya, sebanyak tiga operasi berasingan dilakukan dengan terbaharu kelmarin membabitkan penangkapan empat lembu di lokasi berkenaan.

"Turut terlibat Jabatan Veterinar, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan kontraktor dilantik MDHS dengan tindakan diambil mengikut peruntukan Seksyen 4(1)(a), Enakmen Mengawal Lembu Kerbau Negeri Selangor 1971.

"Sikap penternak yang tidak bertanggungjawab dan pentingkan diri sendiri mengakibatkan anggota penguat kuasa mengalami kecederaan.

"Mangsa menerima rawatan di Hospital Kuala Kubu Bharu tanpa kecederaan serius dan dibenarkan pulang ke rumah pagi semalam," katanya kepada Sinar Harian.

Artikel Berkaitan:

Empat lembu masing-masing dua jantan dan betina berjaya ditangkap dalam operasi malam kelmarin
Empat lembu masing-masing dua jantan dan betina berjaya ditangkap dalam operasi malam kelmarin

Awaluddin berkata, lembu yang ditangkap dibawa ke stor tahanan selama 14 hari dan sebarang tuntutan perlu dibuat melalui permohonan bertulis kepada MDHS dalam tempoh tersebut.

Menurutnya, penternak perlu mengemukakan surat pengesahan pemilikan daripada Jabatan Veterinar atau akaun bersumpah.

"Penternak juga perlu menjelaskan kos ditetapkan dan sekiranya tiada tuntutan sehingga tempoh tahanan tamat, pihak MDHS akan melupuskan haiwan berkenaan melalui proses lelongan.

"Justeru bagi mengelak haiwan ternakan ditangkap, pemilik diingatkan agar memastikan haiwan ternakan mereka tidak memasuki kawasan diwartakan sebagai larangan ternakan.

"Antaranya kawasan perumahan, perindustrian dan tempat awam kerana akan menyebabkan kacau ganggu serta menjadi punca kemalangan jalan raya," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!