Negeri Sembilan bakal tawar ijazah di Itqan
GEMENCHEH - Kerajaan negeri mempunyai perancangan untuk menawarkan pengajian bertaraf ijazah sarjana muda di Institut Tahfiz Al-Quran Negeri Sembilan (Itqan) di sini.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, usaha itu susulan daripada pengajian peringkat diploma sepenuhnya ditawarkan tahun lalu.
"Kita baru sahaja mendapat pengiktirafan tersebut (peringkat diploma). Insya ALLAH pada masa depan kita akan susun strategi untuk memastikan perkara tersebut (ijazah sarjana muda) menjadi kenyataan.
"Bagaimanapun usaha ini masih dalam peringkat awal dan perancangan ke arah itu sedang dilakukan," katanya kepada media selepas selesai Majlis Istiadat Konvokesyen Khatam Hafaz dan Hari Anugerah Kecemerlangan Kali yang ke-10, hari ini.
Katanya, kualiti pengajaran dan pembelajaran di institut ini bermula tahun 2018 menawarkan pengajian di peringkat diploma sepenuhnya kini dapat dikekal dan dipertingkat dari semasa ke semasa.
Dalam masa sama, Aminuddin turut menyarankan agar pihak yang bertanggungjawab mengambil langkah positif dan strategik untuk sentiasa menyemak dan menambah baik kurikulum yang diguna pakai agar sejajar dengan keperluan dan perkembangan sektor pendidikan masa kini.
"Kerajaan Negeri Sembilan akan cuba membantu sebaik mungkin dari segi idea, kepakaran mahupun kewangan bagi melihat satu-satunya institut ini akan lebih cemerlang dalam melahirkan para huffaz yang mampu berdaya saing dalam apa jua bidang sekali pun," katanya.
Dalam majlis itu, seramai 43 orang graduan menerima Sijil Khatam Hafaz sekali gus membuktikan bahawa Itqan mampu melahirkan graduan yang cemerlang dan mampu memberikan persaingan dengan institusi ternama lain.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!