Sembilan ditahan dalam Ops Dadu di Jalan Alor
KUALA LUMPUR - Sembilan lelaki termasuk tiga warga asing berjaya ditahan dalam serbuan Ops Dadu di sebuah premis di Jalan Alor, di sini, awal pagi tadi.
Pegawai Turus D7 Kuala Lumpur, Deputi Superintendan Rohazah Alwi berkata, operasi pada jam 1 pagi itu dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.
Menurutnya, semakan mendapati warga asing terbabit terdiri daripada dua warga Bangladesh yang berperanan sebagai penjaga premis, manakala seorang lagi adalah pemain.
"Baki lagi tangkapan merupakan warga tempatan juga dikesan adalah pemain serta penonton," katanya.
Rohazah berkata, operasi tersebut turut merampas pelbagai barang antaranya tablet, modem, alat pengecas, buku catatan serta wang tunai.
"Hasil soal siasat mendapati, salah seorang warga Bangladesh mengaku telah bekerja sejak kira-kira seminggu, manakala rakannya yang juga warga Bangladesh baru bekerja tiga hari.
"Dipercayai mereka ini diupah dengan bayaran gaji RM1,500 sebulan. Selain itu, mereka juga hanya membenarkan pelanggan tetap sahaja masuk untuk berjudi," katanya kepada Sinar Harian, hari ini.
Tambahnya, siasatan juga percaya kutipan harian premis ini berjumlah kira-kira RM500.
"Premis ini adalah premis baru yang telah diubah suai dan merupakan rumah kedai," katanya.
Menurut Rohazah lagi, kes disiasat mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!