Polis siasat perbuatan khianat rosakkan batu nisan
MELAKA - Polis sedang menjalankan siasatan berhubung perbuatan khianat merosakkan beberapa batu nisan di Tanah Perkuburan Islam As-Syakirin, Bachang malam tadi.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Melaka, Asisten Komisioner Mohd Nor Yhazid Idris meminta semua pihak bertenang dan tidak menularkan gambar serta video kejadian itu bagi membolehkan pihak polis melakukan siasatan terhadap kejadian tersebut.
“Kita dalam proses membuat pengecaman bagi mengenal pasti individu yang terlibat dan telah mengambil keterangan daripada dua individu yang didakwa berada di tempat kejadian bagi membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Mohd Nor Yhazid berkata, polis juga sedang meneliti beberapa laporan polis bagi membuka kertas siasatan dan buat masa ini kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 297 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad ketika dihubungi berkata, pihaknya telah menerima satu laporan polis berhubung tanah perkuburan diceroboh dan batu nisan dirosakkan pada jam 10.20 malam tadi.
Beliau berkata, hasil daripada aduan daripada seorang lelaki berumur 41 tahun, polis telah membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 297 kanun keseksaan kerana menceroboh.
“Sehingga kini belum ada sebarang tangkapan dibuat oleh pihak polis dan kes masih dalam siasatan,” katanya.
Katanya, pihak polis meminta saksi kejadian atau mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkenaan kes tersebut segera tampil ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
Dalam pada itu, Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian merosakkan batu nisan dan membakar kubur di Tanah Perkuburan Islam As-Syakirin, Bachang dekat sini malam tadi agar segera tampil salur maklumat.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan JAIM, Datuk Rahimin Bani berkata, saksi kejadian atau mereka yang mempunyai maklumat mengenai kejadian tersebut boleh menghubungi pihak JAIM atau balai polis berdekatan.
“Kita perlukan maklumat daripada orang ramai bagi membolehkan siasatan dijalankan dan kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 62, Enakman 6 Kesalahan Jenayah Syariah (Negeri Melaka 1991) kerana mempersendakan agama Islam,” katanya.
Media tempatan semalam melaporkan penduduk Bachang digemparkan dengan kejadian kira-kira 30 batu nisan di Tanah Perkuburan Islam As-Syakirin dirosakkan oleh mereka yang tidak bertanggung jawab kira-kira jam 8 malam. - Bernama
ARTIKEL BERKAITAN: Penduduk gempar 30 batu nisan dicabut, dibakar
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!