APMM Kelantan tumpaskan cubaan seludup rokok
PASIR PUTEH - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan berjaya mematahkan cubaan menyeludup rokok menerusi jalan laut di perairan Tumpat semalam.
Pemangku Pengarah Maritim Kelantan, Komander Maritim Ismail Hamzah berkata, bot yang membawa ribuan kotak rokok putih itu dikesan bot peronda APMM jam 11.30 pagi pada jarak 1.7 batu nautika dari Kuala Tongkong, Tumpat.
Katanya, suspek memecut bot apabila dihampiri bot APMM dan meninggalkan ribuan kotak berisi rokok.
"Pemeriksaan dalam bot mendapati terdapat 40,000 kotak rokok satu jenama," katanya dalam sidang media di Bilik Gerakan Maritim Kelantan di Tok Bali, hari ini.
Ismail berkata, rokok yang dirampas dibawa ke Pejabat Maritim Kelantan dan kes itu disiasat di bawah Akta Kastam 1967.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!