Sasaran 30 juta pelancong mampu dicapai
KUALA LUMPUR - Sasaran 30 juta pelancong luar sempena Tahun Melawat Malaysia 2020 mampu dicapai jika seluruh rakyat berperanan sebagai duta pelancongan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, Malaysia akan menjana pendapatan sebanyak RM100 bilion, oleh itu rakyat
perlu bersama kerajaan mempromosikan sambutan TMM2020, dengan menonjolkan imej positif kepelbagaian yang di miliki negara.
“Apabila orang asing jatuh cinta dengan sifat keperibadian timur yang kita miliki, dengan sendirinya mereka akan mencari pula seni dan warisan negara kita untuk dihayati dan dinikmati.
“Kita harus menjadi negara contoh kepada dunia luar dengan rakyatnya memiliki tata susila, tata laku dan tahap intelektual yang tinggi,” katanya ketika berucap dalam Majlis Rumah Terbuka Malaysia Aidilfitri 2019 anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, di Muzium Diraja, di sini hari ini.
Tambahnya, bagi merancakkan lagi kedatangan pelancong luar ke negara ini, kerajaan telah memperkukuhkan usaha untuk mencapai sasaran tersebut melalui beberapa inisiatif.
"Antaranya menjadikan Malaysia rakan rasmi negara (Partner Country) dalam Internationale Tourismus Börse (ITB) tahun 2019 di Berlin, Germany," katanya.
Jelasnya lagi, pelaksanaan sepenuhnya Pelan Ekopelancongan Kebangsaan 2016-2025 di mana 60 kluster ekopelancongan telah dikenal pasti di seluruh negara bagi menggamit kedatangan pelancong luar.
"Kita mencalonkan lebih banyak tapak warisan yang berpotensi untuk diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO seperti Taman Hutan Selangor FRIM, Permatang Kuarza di Gombak, Selangor dan Taman Negeri Royal Belum di Perak.
"Serta mengoptimumkan penggunaan teknologi maklumat bagi menghasilkan pendekatan yang lebih segar dan menarik dalam usaha promosi, publisiti dan pengiklanan. Melaksanakan lebih banyak kerjasama pintar dengan syarikat penerbangan antarabangsa,"katanya.
Selain itu katanya, antara inisiatif lain Malaysia juga turut menjadikan acara-acara utama sebagai leverage seperti acara PATA Travel Mart, APEC Economic Leader’s Meeting 2020 dan World Congress on Information Technology 2020 bagi tujuan berkenaan.
"Kita memberi tumpuan utama kepada usaha promosi produk pelancongan minat khas di luar negara seperti selam skuba, pelancongan pelayaran, inap desa, dan ekopelancongan.
" Dan memaksimumkan kempen-kempen pemasaran bersepadu melalui kerjasama dengan agensi-agensi kerajaan bagi mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan perdagangan, pelaburan, pendidikan, kesihatan dan perfileman," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!