Pegawai Khas Menteri Besar Selangor buat laporan polis
BUKIT SENTOSA - [DIKEMASKINI] Pegawai Khas kepada Menteri Besar Selangor, Saifuddin Shafi Muhammad membuat laporan polis hari ini berhubung tuduhan fitnah jenayah mengaitkan dirinya dengan akaun Twitter PecatFaekah.
Saifuddin berkata, tuduhan tersebut adalah tidak berasas dan berniat jahat apabila nama serta gambarnya didedahkan kepada umum tanpa bukti kukuh.
Menurutnya, tindakan sedemikian menjejaskan namanya selaku seorang pegawai khas kepada Menteri Besar Selangor yang sering berurusan dengan agensi kerajaan dan orang awam.
"Saya hadir hari ini ke balai polis bagi membuat laporan berkaitan satu fitnah jenayah dan laporan palsu oleh seorang lelaki bernama Na'im Bin Brundage terhadap diri saya.
"Individu ini menuduh saya dalam laporan polis bahawa saya adalah pengendali kepada sebuah akaun media sosial PecatFaekah.
"Saya tidak ada kena-mengena dalam perkara tersebut dan saya tidak mengenali serta tidak pernah bertemu secara langsung dengan individu ini," katanya kepada Sinar Harian.
Saifuddin berkata, tuduhan itu turut menjejaskan reputasinya selaku aktivis yang terlibat dengan program kemasyarakatan.
Menurutnya, tindakan individu terbabit dikhuatiri akan menjejaskan kepercayaan orang ramai terhadap diri dan organisasi yang diwakilinya.
"Tujuan laporan ini dibuat adalah bagi meminta Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan segera tentang motif dan individu tersebut yang menyebut nama serta menyebarkan gambar saya secara terang-terangan.
"Ini jelas bertentangan dengan hak asasi saya sebagai seorang warganegara selain mengelak fitnah serta laporan palsu berterusan terhadap saya," katanya.
Sementara itu kelmarin, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Wilayah Persekutuan, Na'im Brundage memuat naik kenyataan di laman Facebook berhubung laporan polis dibuatnya mengenai perkara tersebut.
Menurut Na'im, akaun itu menyebarkan ciapan berunsur fitnah terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim dan keluarga sejak 12 Jun lalu selepas video intim mengaitkan seorang menteri kabinet tular di media sosial.
Na'im turut menyenaraikan lima nama termasuk Sahifuddin Shafi yang juga merupakan Ketua AMK Hulu Selangor dengan dakwaan selaku pengendali akaun Twitter berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!